in

Memahami Istilah Undang-Undang di Sebalik Inkues Kes Zara Qairina

Untitled design 15

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Rata-rata daripada kita tentu mengikuti perkembangan prosiding kes Zara Qairina yang masih berjalan di mahkamah.

Namun, dalam mengikuti laporan media, kita sering disajikan dengan pelbagai istilah undang-undang yang kedengaran agak asing. Bagi orang awam yang tidak begitu arif tentang hal perundangan, istilah seperti koroner dan inkues boleh menimbulkan kekeliruan.


Jadi, apakah maksud sebenar di sebalik semua istilah ini?

Inkues 

mahkamah

Inkues dijalankan di Mahkamah Koroner, iaitu mahkamah khas yang ditubuhkan untuk menyiasat punca dan cara kematian seseorang.

Mahkamah ini tidak bertujuan menjatuhkan hukuman, sebaliknya berfungsi untuk mencari kebenaran, termasuk mengenal pasti identiti si mati, menentukan bila, di mana, dan bagaimana kematian berlaku, serta mengeluarkan saranan agar tragedi serupa dapat dielakkan pada masa hadapan.

Terdapat beberapa jenis atau keadaan kematian yang memerlukan inkues, antaranya adalah apabila punca kematian tidak diketahui, kematian yang tidak semula jadi atau melibatkan keganasan, identiti si mati tidak dapat dikenalpasti, kematian dalam tahanan, atau apabila tiada sijil kematian perubatan dikeluarkan.

Artikel Berkaitan: Ternanti-nanti Penghujung Kesnya, Ini Kronologi Lengkap Kes Zara Qairina Yang Menggemparkan Negara – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: Inkues Kematian Zara Qairina: Ibu Bapa & Peguam Remaja Tertuduh Dibenar Jadi Pihak Berkepentingan – Lobak Merah

Proses inkues

Di Malaysia, inkues mempunyai prosedur tertentu yang perlu diikuti. Prosesnya tidak bermula terus di mahkamah, sebaliknya melalui beberapa langkah penting terlebih dahulu.

Apa-apa kematian yang berlaku secara mengejut, luar biasa atau mencurigakan akan dilaporkan kepada pihak polis. Contohnya, kematian yang meragukan termasuk kes bunuh diri atau mayat yang dijumpai tanpa sebab yang jelas.

Seterusnya, pihak polis akan hadir ke lokasi kejadian, mengambil gambar, mengumpul bukti dan mengenal pasti saksi. Mayat juga akan dihantar ke hospital untuk bedah siasat, biasanya dilakukan oleh pakar patologi forensik. Tujuannya adalah untuk menentukan punca kematian, sama ada akibat serangan jantung, lemas, tembakan atau sebab lain.

Sekiranya bukti jelas menunjukkan unsur jenayah, kes akan dibawa ke Mahkamah Jenayah. Jika tiada suspek jelas atau pengesahan rasmi punca kematian diperlukan, pendakwa raya akan mengarahkan inkues di Mahkamah Koroner.

Inkues akan dikendalikan oleh koroner, di mana mahkamah akan mendengar keterangan saksi, meneliti bukti serta laporan forensik sebelum koroner merumuskan kesimpulan tentang punca kematian.

Dalam kes Zara Qairina, pendakwa raya wajar mengarahkan inkues di Mahkamah Koroner kerana sijil kematian dikeluarkan tanpa bedah siasat dijalankan. Melalui inkues, semua bukti boleh dibentangkan di mahkamah, membolehkan koroner membuat keputusan yang tepat tentang punca sebenar kematian.

Tapi apa maksud Koroner?

mahkamah kk

Secara asasnya, Mahkamah Koroner ialah mahkamah khas yang ditubuhkan untuk menyiasat punca dan cara kematian seseorang.

Maksud koroner pula ialah seorang pegawai mahkamah, biasanya seorang Majistret yang dilantik khas untuk menyiasat punca kematian melalui proses inkues.

Setiap siasatan kes inkues memerlukan pengawasan kehakiman, iaitu seorang hakim dan koroner yang mengetuai siasatan tersebut. Koroner akan mendengar semua keterangan dan membuat keputusan berdasarkan kesimpulan yang dicapai.

Koroner memegang tanggungjawab yang amat penting kerana mereka perlu menyiasat punca kematian seseorang. Oleh itu, seorang koroner mestilah seorang peguam berpengalaman dengan sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman dan sesetengah koroner juga mempunyai kelayakan perubatan.

Sekiranya koroner dimaklumkan tentang mayat di bawah bidang kuasanya, beliau akan menjalankan siasatan punca kematian, sama ada melalui doktor yang merawat si mati atau melalui bedah siasat. Koroner boleh membuka inkues jika bedah siasat masih tidak dapat menjelaskan punca kematian.

Mengikut prosiding kes Zara Qairina yang masih berjalan sehingga hari ini, difahamkan bahawa Mahkamah Tinggi telah mengetepikan keputusan koroner.

Namun, keputusan Mahkamah Tinggi ini tidak bermakna menolak semua dapatan koroner lama. Sebaliknya, mahkamah mendapati koroner sebelum ini tidak layak meneruskan kes dan keputusan tersebut perlu diserahkan kepada koroner baru untuk tindakan selanjutnya.

“Tidak lama selepas itu, beliau (koroner terdahulu) menarik diri atas alasan kepentingan peribadi dalam perkara itu.

“Selepas berpandangan bahawa beliau tidak boleh meneruskan kes itu, adalah tidak wajar untuk beliau memutuskan isu substantif yang sepatutnya diserahkan kepada pertimbangan Koroner baharu, kerana tindakan itu sama seperti membuat keputusan bagi pihak koroner akan datang dan menjejaskan prinsip kesaksamaan,” kata Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Dengan itu, Mahkamah Tinggi telah melantik koroner baru untuk meneruskan inkues dan menentukan punca sebenar kematian secara adil dan saksama.

Kesimpulannya, inkues dan peranan koroner penting kerana ia menjamin ketelusan, boleh memberi keluarga dan masyarakat gambaran jelas tentang apa yang berlaku di samping menegakkan keadilan supaya tiada unsur salah laku terlepas pandang serta boleh menjadi rujukan masa depan bagi pihak berkuasa yang menangani kes seumpama ini.

Sumber: Harian Metro, Sinar Harian, Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.