Seorang wanita berusia 22 tahun menjadi mangsa yang maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kota Tinggi, Johor pada petang Sabtu semalam.
Mangsa, Siti Nabila Rudin merupakan pemandu kereta Perodua Myvi dan kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandunya itu cuba untuk memotong kenderaan di hadapannya namun tidak berjaya apabila berlanggar dengan sebuah lori di laluan bertentangan.
Memetik laporan Buletin TV3, kejadian tersebut turut menyebabkan dua lagi mangsa iaitu adik mangsa cedera.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa dan dua adiknya itu sedang dalam perjalanan untuk pulang ke Tanah Merah, Kelantan dari Kota Masai untuk melangsungkan pertunangan dan akad nikah yang akan berlangsung Jumaat ini.
Artikel berkaitan: Rim Besi Dari Tayar Lori Yang Dipercayai Jadi Punca Kemalangan Di Ayer Keroh Ditemui Polis
Artikel berkaitan: Lelaki Putus Dengan Kekasih Kerana Bimbang Jadi Kudung Lepas Kemalangan, Namun Tanpa Disangka…
Menurut ibu saudara mangsa yang ditemui media di perkarangan Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, arwah tinggal dan bekerja di Kota Masai dan ketika kejadian, sedang dalam perjalanan untuk pulang ke kampung bersama dua adiknya.
Arwah turut membawa pulang pakaian pengantin untuknya dan pasangan untuk melangsungkan majlis pernikahan pada 31 Januari ini dan mereka merancang untuk mengadakan majlis bersanding pada Aidilfitri nanti, lapor Berita Harian.
Bakal pengantin, Siti Nabila yang mengalami kecederaan parah pada bahagian badan disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala kedua-dua adik mangsa terselamat dalam kejadian itu namun kedua-duanya sedang dirawat di hospital kerana mengalami kecederaan akibat kemalangan yang meragut nyawa kakak mereka itu.
Sama-sama kita doakan agar keluarga dan pasangan arwah tabah dengan ujian ini.
Sumber: Buletin TV3