Kecoh di media sosial sejak semalam, penampakan seekor buaya di sungai berhampiran pusat beli-belah The Gardens Mid Valley dan KL Eco City.
Difahamkan, sejurus penemuan reptilia itu, sekumpulan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) terus memantau kehadiran buaya yang jarang berlaku di Sungai Klang, terutamanya di kawasan terbabit.
Sebelum ini, tular kelibat seekor buaya dilaporkan di Sungai Klang berhampiran kawasan Masjid Jamek pada 25 Januari lalu.
Artikel berkaitan: Kemunculan Buaya Di Sg Klang Kuala Lumpur, Orang Ramai Diminta Berwaspada
Buaya kotaraya. From Gardens/Midvalley-KL Eco City bridge. Selalu nampak biawak je, hari ni upgrade sikit 😅 pic.twitter.com/3hrQfT2a4j
— juruteri (@sangratu18) February 20, 2025
APM, DBKL pasang perangkap
Susulan kejadian itu, semua agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), PERHILITAN, APM dan polis berada di lokasi kejadian sejak petang semalam.
Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, perangkap akan dipasang untuk menarik buaya berkenaan ke dalam perangkap.
“Setelah berbincang dengan semua agensi yang terbabit, kami mengambil keputusan untuk menurunkan bot ke dalam sungai untuk mencari dan menangkap haiwan itu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Wilayah Persekutuan, Ishak Muhammad turut menasihati orang ramai untuk menjauhi kawasan terbabit sehingga buaya itu ditangkap.
“Usaha sedang dijalankan untuk memantau kawasan sekitar bagi mencari buaya yang dipercayai sepanjang tiga meter ini.
“Berdasarkan pemerhatian kami terhadap video haiwan itu, kami percaya bahawa ia adalah buaya yang sama yang ditemui berhampiran Masjid Jamek baru-baru ini,” katanya.
Susulan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan sebarang aktiviti di sungai berhampiran.
Bagaimanapun, setakat ini status penangkapan buaya terbabit belum dapat dipastikan.
Sumber: Berita Harian