in

Mangsa Nahas Helikopter Baru Kahwin 3 Bulan, Isteri Pula Baru Tukar Tempat Kerja Di Lumut Sebelum Tragedi

Ft Mangsa Nahas Helikopter

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Salah seorang mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Pangkalan TLDM Lumut semalam iaitu Leftenan T Sivasutan dilaporkan baru sahaja berkahwin kira-kira 3 bulan lalu.

Sivasutan, 31, yang bertugas sebagai juruterbang di unit Skuadron 502 telah berkahwin dengan isterinya yang merupakan seorang doktor gigi pada 25 Januari lalu.


Artikel berkaitan : “Itu gambar hari ini” -Pemuda Terkejut Makcik Salah Seorang Korban Nahas Helikopter

Artikel berkaitan : Tragedi Helikopter TLDM: Sahabat Muat Naik Gambar Bersama, Tak Sangka Ramadan Kali Terakhir Berjumpa

Lebih menyedihkan, pasangan itu yang sebelum ini tinggal secara berasingan baru sahaja dapat merasai kehidupan berumah tangga kerana isteri mendiang baru dapat berpindah ke Teluk Intan kerana sebelum ini dia bertugas di Pulau Pinang.

Harian Metro melaporkan bahawa sepupunya, M Sivanesan, 23, berkata, mereka sekeluarga masih sukar menerima berita menyedihkan itu terutama ibu bapa mendiang, M Thanjappan, 60-an, dan R Parameswary, 60-an, adik-beradik dan isterinya.

Screenshot 2024 04 24 124912

“Abang sepupu baru saja berkahwin dan sebelum ini dia dan isteri tinggal berasingan kerana isteri abang bertugas di Pulau Pinang sementara abang di Lumut. Kakak ipar (isteri mendiang) selalu pulang ke Sitiawan setiap hujung minggu.”

“Bagaimanapun kakak baru dapat bertukar di Teluk Intan dan semalam dia melapor diri. Namun hari ini kami terima berita menyedihkan ini.”

Jelasnya, dia baru sahaja bertemu dengan abang sepupunya itu pada minggu lalu ketika datang ke rumahnya untuk bertemu dengan nenek mereka namun tidak menunjukkan sebarang perubahan dan mereka sekeluarga bersembang seperti biasa.

“Walaupun hanya sepupu tetapi saya rapat dengan abang dan sebelum ini mendiang abang juga pernah berpesan supaya tengok-tengokkan keluarganya. Abang anak kedua dan satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya.”

“Abang seorang yang sangat baik, dia tidak pernah tinggikan suara apabila bercakap. Abang minat bidang ketenteraan dan memang mahu menjadi anggota TLDM.”

Screenshot 2024 04 24 124927

Tambahnya, mendiang yang juga bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sudah berkhidmat bersama TLDM hampir lapan tahun lalu dan sebelum ini mendiang pernah berkhidmat di Sandakan, Sabah.

“Sekarang ini kakak dan adik perempuan mendiang berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menunggu proses bedah siasat dan kalau semua selesai kami akan menguruskan (upacara kematian) esok (hari ini).”

Bercerita lanjut, pemuda itu berkata, dia menerima berita mengenai nahas berkenaan pada 10.30 pagi semalam sebelum dia dan ahli keluarga mereka bergegas ke rumah mendiang.

“Ketika itu isteri abang sedang bertugas, manakala ibu bapa saudara pula sedang berada di kuil. Saya merasai kehilangan dengan pemergian abang, dia selalu datang rumah dan tiba tiba sudah tiada.”

Untuk rekod, Sivasutan adalah antara tiga kru pesawat Fennec yang terbabit nahas dengan sebuah lagi aset TLDM iaitu HOM-AW139 yang dinaiki tujuh anggota.

Sumber : Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.