Malaysia kini berada di barisan hadapan dalam dialog global bagi usaha membentuk hala tuju sistem perlindungan sosial yang lebih inklusif, mampan serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Perkara ini menjadi tumpuan apabila Kuala Lumpur dipilih sebagai tuan rumah World Social Security Forum (WSSF) 2025, yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Forum lima hari ini, yang berlangsung sehingga 3 Oktober, menjadikan Kuala Lumpur pusat perbincangan antarabangsa mengenai isu perlindungan sosial. Ia dianjurkan oleh International Social Security Association (ISSA) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta disokong oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Forum Bertaraf Dunia
Bertemakan “Shaping Social Security for a World in Transition”, WSSF 2025 menghimpunkan lebih 2,000 peserta dari 253 institusi merangkumi 133 negara. Mereka terdiri daripada menteri, ketua pegawai eksekutif, pakar teknikal dan wakil organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta Bank Dunia. Kehadiran ini menjadikan WSSF sebagai perhimpunan terbesar dunia mengenai perlindungan sosial.
Pembentangan kebangsaan Malaysia menekankan reformasi dalam memperluas perlindungan, meningkatkan kelestarian kewangan dan mengintegrasi teknologi digital. Pendekatan ini semakin diiktiraf sebagai model seimbang yang menyesuaikan keperluan domestik dengan cabaran global – daripada kebangkitan ekonomi gig, populasi menua, hinggalah keperluan institusi yang lebih kukuh dan berdaya tahan.
Isu Global Jadi Fokus
Antara sesi utama ialah pleno bertajuk “Global Developments and Trends in Social Security” yang membincangkan bagaimana perubahan demografi, pendigitalan serta transformasi pasaran buruh sedang membentuk semula sistem perlindungan sosial dunia.
Perbahasan juga menekankan keperluan mendesak untuk mewujudkan sistem yang tangkas dalam menghadapi perubahan iklim, pertumbuhan ekonomi tidak formal serta gangguan teknologi yang semakin pesat. Pandangan-pandangan ini akan menjadi asas perbincangan sepanjang forum dan membimbing hala tuju kolektif ke arah agenda perlindungan sosial global yang lebih berdaya tahan.
Ikrar Baharu dari Kuala Lumpur
Presiden ISSA, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, menyifatkan Kuala Lumpur sebagai titik tolak kepada lahirnya ikrar baharu dalam memeta masa depan keselamatan sosial global.
“Kita akan berdebat, mempersoal dan mencabar, di samping belajar daripada inovasi pihak lain serta berkongsi pengalaman sendiri. Paling penting, kita mencari titik persamaan kerana tugas di hadapan kita lebih besar daripada mana-mana institusi atau negara.
“Saya menjangka forum ini bakal mencetus komitmen untuk melindungi golongan yang masih tercicir, bersedia menghadapi risiko tersembunyi dan segera bertindak. Setiap hari kita berlengah, lebih ramai terjatuh ke jurang perlindungan. Kini, dua bilion penduduk dunia masih belum dilindungi, terus terdedah kepada kehilangan sumber pendapatan, kemerosotan ekonomi keluarga dan kesihatan yang rapuh,” katanya.
Membentuk Masa Depan
Sepanjang minggu, forum akan diteruskan dengan sesi mengenai inovasi dan transformasi dalam pengurusan keselamatan sosial, bengkel interaktif serta pameran pendekatan baharu.
Kemuncak acara adalah World Social Security Summit pada Jumaat, di mana pemimpin dunia akan merumuskan hala tuju dekad akan datang ke arah sistem perlindungan sosial yang lebih inklusif, mampan dan sedia menghadapi masa depan.