Mahkamah Tinggi Johor Bahru dilaporkan telah membenarkan lelaki yang melakukan keganasan rumah tangga terhadap isteri hingga terlantar koma untuk ditangguhkan hukuman penjara 10 tahun yang dijatuhkan terhadapnya sebelum ini.
Hakim, Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu terhadap pemohon, Rosmaini Abd Raof, 42, yang menjalani hukuman penjara bermula 9 Disember tahun lalu sementara menunggu keputusan rayuan.
Kata Abu Bakar, mahkamah menggunakan budi bicara berdasarkan Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan tidak dipengaruhi oleh pandangan umum yang tular di media sosial.
Artikel berkaitan: B*lasah Bekas Isteri Sampai Koma, Bekas Suami Jahidah Dipenjara 10 Tahun
Artikel berkaitan: Jahidah Masih Terlantar Di Atas Katil, Anak Umur 3 Tahun Berstatus OKU
Jelasnya, pemohon mempunyai isu bermerit dalam rayuannya, antaranya keterangan saksi yang bercanggah dengan dokumen kes serta keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan saksi utama dipanggil semula oleh pembelaan.
“Berdasarkan alasan-alasan berkenaan mahkamah ini membenarkan permohonan pemohon untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dengan syarat iaitu jaminan bercagar sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin, pemohon melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan, sehingga rayuan selesai.”
View this post on Instagram
Hakim mahkamah menetapkan bahawa jika pemohon gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, perintah penggantungan hukuman akan terbatal serta-merta dan waran mempenjara akan dikeluarkan.
Terdahulu, kes Jahidah menggemparkan negara berikutan wanita berkenaan dilaporkan hamil ketika dipukul sehingga parah dan koma.
Sebutan semula bagi prosiding rayuan induk kes berkenaan ditetapkan 7 April depan di Mahkamah Tinggi.
Sumber: Sinar Harian