Antara korang semua, mesti selalu menggunakan pengangkutan awam seperti LRT untuk ke tempat kerja ataupun mana-mana destinasi yang kita ingini. Mana taknya, tak payah nak hadap kesesakan lalu lintas…
Bila sebut pasal stesen LRT, sudah tentu kita boleh nampak kebanyakan infrastruktur dan fasiliti yang disediakan boleh dikatakan sangat memuaskan.
Namun, berbeza apa yang berlaku di sebuah bandar di China apabila tular beberapa gambar menunjukkan keadaan di salah satu stesen Metro di sana.
Stesen Caojiawan di China, dilihat seperti terbiar rupanya beroperasi
Dilihat seperti bangunan terbiar rupanya ia beroperasi. Itulah yang boleh digambarkan mengenai stesen Metro Caojiawan di China dimana beberapa gambar telah dikongsikan di media sosial baru-baru ini.
Untuk pengetahuan korang, stesen Metro Caojiawan terletak di Chongqing dan ia telah menjadi bualan ramai warganet kerana keadaan stesen metro tersebut yang dipenuhi belukar dan tidak mempunyai akses jalan mahupun bas pengantara.
Menurut Next Shark, difahamkan stesen metro tersebut telah siap dibina pada tahun 2015 dan mempunyai tiga pintu keluar. Namun, hanya satu sahaja pintu keluar yang selalu digunakan berikutan dua lagi pintu keluar tersebut dipenuhi dengan kawasan sampah dan menyukarkan pengguna untuk keluar daripada kawasan itu.
Menurut pekerja yang bertugas di situ, selalunya stesen ini menjadi destinasi yang jarang digunakan oleh orang ramai walaupun pada waktu puncak. Hal ini kerana kawasan tersebut sebenarnya masih dalam perancangan untuk membina sebuah bandar tambahan pula kawasan tersebut jauh daripada ibu kota.
Membandingkan stesen Metro yang lain, stesen Caojiawan merupakan tempat perhentian yang paling selesa sekali apabila pengguna yang menggunakan stesen tersebut tidak perlu berasak-asak pada waktu pagi ke tempat kerja.
Untuk menjawab persoalan mengapa stesen Metro tersebut dibina di kawasan terpencil dan kawasan yang agak terbiar, Jabatan Perancangan Bandar di sana memberitahu media bahawa stesen tersebut sebenarnya bakal ditambah baik pada masa hadapan.
Ini bermakna bahawa sebuah bandar akan dibangunkan di stesen Caojiwan suatu hari nanti.
Rupanya segala usaha tercapai, stesen Caojiawan bukan lagi seperti kawasan terbiar
Dengan hanya mengambil masa tiga tahun sahaja, pembangunan di kawasan sekitar stesen Caojiawan itu membangut dengan sangat pesat dan dilihat ia bukan lagi seperti kawasan terbiar.
Beberapa gambar telah dikongsikan di media sosial berkenaan perbezaan yang berlaku pada kawasan Chongqin pada tahun 2017 dan 2020.
Rata-rata sebenarnya ramai yang memuji pihak yang mencetuskan idea untuk membina stesen Metro di kawasan pada awalnya terbiar itu kerana pada akhirnya banyak pembangunan yang boleh dicapai berikutan ada satu pengangkutan awam yang mampu memudahkan penduduk untuk bergerak ke tempat kerja.
“Ini yang dinamakan perancangan yang bijak dan pembangunan berstrategik.”
Orang kata setiap perkara ada sebabnya tertentu. Betul tak?
Baca: Senaman Merangkak Macam Buaya Kini Trending Di China, Katanya Boleh Legakan Sakit Belakang