Antara benda yang buat kita paling excited bila dah mula kerja dan pegang duit sendiri ialah ketika hujung bulan sebab time tu lah gaji akan masuk dalam akaun bank. Boleh la reward diri sendiri dengan makan sedap-sedap kan.
Namun, bagi seorang guru di Garut, Indonesia pula, dia terpaksa menunggu selama 24 tahun untuk mendapatkan bayaran gajinya yang tertunggak, lapor Tribun News.
Guru yang berusia 53 tahun itu dikenali sebagai Munir Alamsyah itu pernah berkhidmat sebagai guru sandaran di Sekolah Cikelet Garut selama dua tahun pada 1996 hingga 1998.
Difahamkan, dia ditugaskan untuk mengajar subjek Fizik pada ketika itu namun bayaran gajinya sebagai guru sandaran itu belum dibayar walaupun selepas lebih 20 tahun.
Munir juga dikatakan telah sering ke sekolah itu pada setiap tahun untuk tanya bila gajinya akan dibayar memandangkan dia telah lama berhenti mengajar di situ.
Untuk pengetahuan semua juga, dia pernah tular sebelum ini kerana pernah membakar kawasan sekolah itu akibat terlalu marah bayaran masih belum dilunaskan.
Namun, kini pihak Jabatan Pendidikan di Garut akhirnya menyerahkan gaji yang tertunggak sebanyak enam juta Rupiah (lebih kurang RM1,747 jika ditukar ke Ringgit Malaysia) kepada bekas guru itu.
Walau bagaimanapun, sebab mengapa bayaran gaji itu boleh tertunggak sebegitu lama masih belum diketahui atau didedahkan kepada umum.
Ade Manadin iaitu Ketua Jabatan Pendidikan di sana pula berharap pihak sekolah akan jadi lebih peka agar masalah seperti ini tak akan berulang lagi.
Munir turut dilihat sujud syukur ketika bertemu dengan Ade Manadin setelah diberitahu bahawa dia akan menerima wang gaji yang sepatutnya.
Walaupun kejadian ni berlaku di negara jiran, tapi rasanya kita tetap boleh jadikannya pengajaran. Jangan main-main dengan duit ni, sebab boleh buat orang geram dan kecewa.
Sumber: Tribun News, Utusan