Akibat menegur cara pemanduan seorang pemandu di lampu isyarat, seorang lelaki dibelasah dengan teruk sekali sehingga patah tujuh batang gigi dan cedera di kepala dekat Jalan Kolam, Kota Kinabalu, Sabah.
Menurut Harian Metro, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 10 malam pada Isnin lepas semasa mangsa yang berusia 21 tahun memandu Honda S660 telah berselisih dengan Perodua Alza.
Ketika berada di lampu isyarat, mangsa dikatakan telah menegur pemandu kereta disebelahnya kerana tidak memberikan isyarat untuk masuk ke lorong laju.
Disebabkan hal tersebut, kejadian tiba-tiba menjadi tidak terkawal sampaikan pemandu Perodua Alza bertindak ganas dengan memecahkan cermin kereta mangsa dengan menggunakan batang besi.
Mengikut laporan yang diterima pihak polis, suspek juga didakwa telah memukul mangsa di kepala dan tangan menggunakan batang besi tersebut.
Sebaik selesai memukul mangsa, suspek masuk semula ke dalam kereta dan terus meninggalkan lokasi kejadian.
“Mangsa yang cedera kemudiannya dibantu orang awam untuk keluar dari kenderaan. Mangsa kemudiannya menghubungi ahli keluarga sebelum dibawa mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.
“Setakat ini, suspek berusia 36 tahun itu sudah dikenalpasti dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan,” kata Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan jika sabit kesalahan, boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
Uish bahaya betul. Lain jangan tegur, ambil gambar dan terus report polis.