Pertemuan semula dengan ahli keluarga yang sudah lama terpisah selalunya merupakan sesuatu yang menggembirakan. Namun begitu, lain pula yang terjadi kepada seorang lelaki Itali ini yang kini dimasukkan ke hospital selepas ditikam adik-beradiknya sendiri.
LADBible melaporkan, Martin Rabanser, 35, menghabiskan masa 24 tahun mencari abang kandungnya, Ivo, yang meninggalkan kediaman keluarga mereka ketika berusia 18 tahun susulan kematian bapa mereka.
Pun begitu, Martin berjumpa semula dengan abangnya itu selepas Ivo memecah masuk rumahnya dan menikam dirinya diatas katil.
Menurut peguam Martin, Nicola Nettis, pada mulanya, Martin tak mengenali abangnya kerana sudah lebih 20 tahun tak berjumpa. Ivo, yang kini sudah berusia 42, kemudiannya selamba mendedahkan identitinya semasa dia menikam dada Martin.
“Salah satu teori mengenai motif kejadian adalah kerana Ivo marah kerana tak bersetuju dengan syarat pembahagian harta mendiang bapa mereka termasuklah rumah yang kini didiami Martin,” kata Nettis.
Difahamkan, ketika Ivo menghilangkan diri pada tahun 1997, keluarganya ada membuat rayuan di Italian TV supaya lelaki itu pulang. Namun begitu, tiada jawapan.
Hasil siasatan polis kemudiannya mendedahkan, Ivo yang sebelum ini berada di Verona kembali semula ke kawasan tempat tinggalnya dahulu dengan menaiki basikal dan memilih untuk tinggal di sebuah hutan berhampiran. Di situ, dia dikatakan telah memerhatikan adiknya, Martin, yang kini sudah berumah tangga dan mempunyai seorang anak lelaki berusia sembilan tahun.
“Dia (Ivo) menunggu sehingga malam sebelum memecah masuk rumah adiknya sendiri dan membawa sekurang-kurangnya dua bilah pisau. Dia masuk ke bilik tidur dan terus menikam Martin di dada tanpa berkata apa-apa,” kata Nettis lagi.
Media tempatan, dalam pada itu, melaporkan, isteri Martin cuba untuk membantu namun wanita itu disembur dengan penyembur lada sebelum dia menelefon polis untuk bantuan.
Dalam temu bual bersama polis pula, Ivo mendedahkan dia memang marah dengan adiknya itu tapi tidak berniat untuk membunuhnya.
“Saya duduk dengan dia semasa dia sedang dalam kesakitan selepas ditikam. Saya boleh je nak bunuh dia terus tapi saya memilih untuk ke dapur dan ketika itulah saya ditangkap,” katanya.
Martin yang cedera parah ditikam di paru-paru dikejarkan ke hospital dimana keadaannya kini dilaporkan stabil.
Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Sumber: LADBible