Sebagai pengguna akaun media sosial, sudah semestinya kita sering memuat naik gambar selfie. Mestilah seronok bila dapat banyak like kan!
Namun, bagi Nednapha Nuankhul, 26, pengalaman pahit dialaminya pada hujung tahun lalu pasti tidak akan pernah dilupakannya seumur hidup.
Disember lalu, Nednapha dilaporkan memuat naik tiga selfie berbeza dengan menganggap ianya satu perkara yang biasa dan tiada isu yang akan dibangkitkan.
Namun, tanpa disangka gambar-gambar tersebut telah membuatkan suaminya cemburu. Terlalu marah dengan apa yang terjadi, suaminya menyimbah petrol dan membakar Nednapha di rumah mereka yang terletak di Amphoe Chiang Kham, utara Thailand.
Nednapha dan suaminya Chatchawarn Tarrin, 28, dikatakan sudah mendirikan rumah tangga sejak Januari tahun lalu dan dikurniakan seorang anak lelaki yang tidak dinyatakan umurnya.
Ketika kejadian, Nednapha dilaporkan cuba melarikan diri namun suaminya itu mencurahkan bahan api padanya sebelum menyalakan api di kediaman mereka.
Disebabkan itu, mangsa dilaporkan parah akibat melecur di seluruh badan dan muka. Tiga pembedahan kecemasan perlu dijalankan serta beberapa lagi pembedahan pada masa akan datang.
Nednapha sehingga kini telah menjalani pembedahan di leher, mulut dan dagu sebanyak tiga kali. Jarinya juga cedera teruk dan memerlukan lebih pembedahan pada bahagian lengan kanan selain mempunyai banyak masalah ligamen.
Ketika api itu marak, saya dapat bayangkan keadaan sebenar neraka yang sememangnya wujud. Ia adalah keganasan dan kesakitan yang tiada siapa dapat bayangkan,”
Keadaaan fizikal saya akan kekal sebegini selamanya,” kata Nednapha.
Namun kejadian malang itu bukanlah satu-satunya berita yang memeranjatkan netizen. Selepas kejadian itu, Nednapha dikatakan membuat keputusan untuk memaafkan suaminya meskipun telah hampir membunuhnya dan menyebabkan muka serta badannya tidak lagi seperti dulu.
Menurutnya, keputusan itu dibuat hanya semata-mata demi kepentingan anak lelaki mereka. Nednapha ketika ditemui selepas keluar dari hospital berkata,
Saya tidak mahu kejadian malang menimpa saya ini menjejaskan kehidupan anak saya.”
Saya sangat terkesan dengan kejadian yang menimpa ini, dari luaran dan dalaman (hati). Namun, saya perlu mengampuninya (suami) kerana kami mempunyai anak bersama.”
Menurut Nednapha, apa yang diharapkan hanyalah suaminya mendapat karma akibat daripada perbuatannya itu suatu hari nanti.
“Hidupnya akan dipenuhi dengan dosa dan dia juga akan mendapat karma suatu hari nanti. Sekarang dia tidak boleh berbuat apa-apa. Dia dihukum penjara namun masih mempunyai anak yang perlu dijaga dan memerlukan seorang ayah.” katanya.
Suaminya kini dilaporkan sedang menunggu keputusan mahkamah tentang hukuman yang akan dikenakan kepadanya.
Jangan main-main dengan perasaan cemburu seseorang!