Pelakon, Azhan Rani yang popular dengan watak Ustaz Madi dalam drama Nur telah menerima pujian daripada peminat-peminat industri hiburan tanah air apabila pelakon drama Khunsa itu berkongsikan di Instagram bahawa dia telah 99 kali menderma darah.
Menerusi perkongsian di Instagram, Azhan Rani, telah berkongsikan gambar sedang memegang beg darah namun difahamkan, darah itu berwarna kuning kerana ia merupakan darah platelet dan plasma yang telah diasingkan dari darah merah dengan menggunakan mesin.
Artikel Berkaitan: Batal Puasa Atau Tidak? Ini Senarai Ubat Dan Rawatan Yang Boleh Membatalkan Puasa
Artikel Berkaitan: Unsung Hero! Konsisten Derma Darah Sejak 1988, Warga Emas ‘Bersara’ Lepas Menderma Kali Ke-356
Difahamkan juga, Azhan Rani akan menderma darahnya lagi dalam masa dua minggu lagi untuk menggenapkan 100 beg darah dermaannya.
Pelakon yang berusia 48 tahun ini juga turut berkongsi bahawa terdapat seorang penderma darah yang telah menderma darah sebanyak 800 kali menurut Pusat Darah Negara.
Dalam perkongsian itu juga, Azhan turut mengajak orang ramai untuk turut sama menderma darah untuk membantu pesakit yang memerlukan.
Ini kerana, secara purata dalam sehari, sebanyak 2000 beg darah diperlukan untuk membantu ramai pesakit di seluruh negara.
Azhan turut mengatakan tujuan dia membuat perkongsian itu bukanlah untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya mahu mengajak orang ramai untuk menderma darah.
Untuk pengetahuan semua, had umur menderma darah ialah sehingga anda berusia 70 tahun dan perlulah mempunyai tubuh badan yang sihat.
Sumber: Instagram azhan_rani