Bukan mudah untuk seorang isteri membesarkan anak kecil selepas kematian suami. Menurut perkongsian Fahmi Ramli, seorang Peguam Syarie di laman Facebook, urusan nafkah mungkin akan menjadi cabaran utama untuk balu tersebut usai ketiadaan suami.
Menurut hantarannya di laman Facebook, dia telah dikunjungi oleh seorang balu yang bertanya soal nafkah selepas kematian suami. Sekiranya suami masih hidup, sudah tentulah nafkah tersebut ditanggung suami.
Bagaimana pula jika si bapa baru meninggal?
Menurut Fahmi, pemberian nafkah adalah tanggungjawab datuk kepada cucunya, maksudnya bapa kepada si mati. Sekiranya datuk juga sudah tiada, pemberian nafkah jatuh kepada adik-beradik lelaki si mati, iaitu abang atau adik lelaki kepada arwah.
Namun, berbeza pula dengan kes yang terpaksa dihadapi oleh peguam syarie ini. Menurut balu tersebut, arwah suaminya anak tunggal dan saudara mara terdekat juga bukan orang yang berkemampuan.
“Macam mana sekalipun, jika nak buat tuntutan nafkah nak kepada golongan selain daripada bapa, kita perlu melihat juga kepada tanggungan mereka sedia ada. Sebab itu, jarang sangat nak ada kes nafkah anak melibatkan pihak defendan itu selain bapa dan datuk.”
“Inilah harga kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh seorang balu yang terpaksa membesarkan anak selepas kematian suami. Semua orang fikir kita akan hidup lama, sebab kita ‘sedang sihat’ atau mungkin ‘dalam comfort zone’.”
“Apatah lagi seorang balu yang terpaksa besarkan anak kecil berseorangan kerana sebelum ini bergantung harap pada suaminya dalam mencari nafkah,” katanya.
Artikel berkaitan: Rumah tu tetap ada hak si balu – Peguam Syarie Beri Pesanan Buat Ali Puteh
Artikel berkaitan: ‘Cerai tak rujuk mahkamah’ – Lelaki Fail Faraq Nikah Sebab Isteri Ada 3 Suami Lain
Bukan itu sahaja yang perlu ditanggung isteri…
Bagaimanapun, ini bukanlah satu-satunya masalah yang terpaksa ditanggung oleh isteri selepas kematian suami. Tambah Fahmi, ada banyak lagi isu yang perlu diselesaikan, salah satunya adalah tentang pembekuan akaun suami.
“Biasanya ramai suami tak kongsikan ‘Password’ akaun bank. Jadi, isteri terpaksa gunakan wang sendiri untuk perbelanjaan anak yang berterusan walaupun selepas mati sebab waris lelaki lain jarang tanggung nafkah anak simati.
“Bila kematian seseorang, akaun bank akan dibekukan untuk pembahagian faraid. Harta yang ditinggalkan suami seperti wang dalam bank adalah wang pusaka. Ia mesti dibahagikan kepada semua ahli waris. Namun, jika kita terdesak untuk gunakan bagi perbelanjaan anak, ia mesti dicatat supaya anak tidak ambil bahagian waris lain yang berhak.
“Itupun jika isteri tahu lah password. Kalau tak tahu, memang terpaksa la lalui proses pembahagian di Mahkamah Syariah, Amanahraya, Mahkamah Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi sebelum duit itu dikeluarkan.
Jelasnya lagi, KWSP bukan hak mutlak isteri.
“Ramai orang tak tahu, penama di dalam KWSP itu bukan pemilik mutlak. Penama itu hanya sebagau wasi sahaja. Maksudnya, dia sebagai pemegang amanah sahaja.
“Jadi, duit KWSP itu wajib dibahagikan secara pusaka. Bukan milik mutlak dan digunakan sewenangnya.
“Bahkan, KWSP tak boleh dituntut sebagai Harta Sepencarian. Maka, kalau ikut dalam bahagian faraid, isteri hanya dapat 1/8 sahaja. Itu pun kalau simati hanya ada seorang isteri. Kalau 2 orang? 3 orang? 4 orang? makin kecil bahagian yang diterima oleh isteri.
Kesimpulannya, perkongsian tersebut bertujuan untuk orang ramai sedar, inilah yang bakal dilalui oleh seorang isteri jika berlaku kematian suami.
“Cuma, apa yang kita tak boleh kawal adalah jangka hayat kita. Ada orang mungkin hidupnya lama, tapi tak kurang juga kini ramai yang meninggal di usia muda. Jika anda yang membaca perkongsian ini faham, sampaikan pesanan saya ini pada pasangan anda.
“Tanda suami kasih dan sayang kepada isteri dan anak-anak sekarang bukan sekadar kata-kata, tapi bagaimana kita sediakan perlindungan kepada mereka jika berlaku apa-apa kepada diri kita,” katanya.
Kredit: Peguam Syarie, Fahmi Ramli