Musim-musim perayaan ni pastinya ramai pemilik kucing akan menghantar haiwan kesayangan masing-masing ke pusat jagaan bagi memastikan kebajikan kucing mereka terjaga sepanjang mereka di kampung.
Pun begitu, lain pula yang berlaku kepada pemilik dua ekor kucing bernama Loki dan Luna iaitu Yusra Adiela M Noor yang mendakwa sebuah pusat jagaan kucing atau sering disebut sebagai pet hotel atau cat hotel di Kedah ini cuai sehingga menyebabkan kedua-dua kucing kesayangannya hilang.
Menurut perkongsian Yusra di Facebook Dunia Kucing Malaysia, pihak pengurusan pet hotel berkenaan memberikan alasan yang munasabah kerana mereka memaklumkan kedua-dua kucingnya itu keluar dari tingkap yang terletak di aras dua sebuah bangunan rumah kedai di Alor Setar itu.
Tambah Yusra, Loki dan Luna dijaga dari kecil sehingga sekarang dah berusia 4 tahun dan menurutnya lagi, kedua-duanya agak pasif sepanjang di bawah jagaannya dan menurutnya, tidak mungkin haiwan berkenaan melakukan tindakan terbabit.
Menguatkan lagi kenyataan tersebut, pemilik itu mendedahkan rumahnya adalah rumah jenis landed serta mempunyai tingkap yang rendah, namun tidak pernah sekali pun kucingnya itu ingin keluar.
Susulan itu, laporan polis akan dilakukan bagi mendapatkan salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pet hotel berkenaan selain percaya pet hotel berkenaan cuai dalam menjaga Loki dan Luna.
Menerusi ruangan komen, rata-rata bersimpati dengan kehilangan dua ekor kucing ‘baka mahal’ tersebut dan berharap kedua-dua segera ditemui kerana kebiasaannya baka tersebut sering dimanjakan, mempunyai pemakanan yang agak cerewet dan sebagainya.
Dalam masa yang sama, ramai juga yang bersetuju bahawa ianya berkemungkinan besar adalah kecuaian pet hotel itu sendiri selain ada yang mengatakan berkemungkinan ianya tidak hilang tetapi telah dijual oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Perkara tersebut juga disahkan oleh pet hotel berkenaan apabila laman Facebook mereka memuat naik status mencari 2 ekor kucing baka BSH yang hilang dari jagaan mereka.
Sumber : Scoop