Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membuat siasatan kepada Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff atas dakwaan mengambil air daripada pili bomba untuk diedarkan kepada penduduk di parlimennya.
Siasatan ini dijalankan susulan beberapa hantaran Facebook yang memaparkan beliau aktif mengusahakan bekalan air bersih menggunakan pili bomba untuk kegunaan penduduk Rantau Panjang sejak April lalu.
Ini termasuklah gambar yang dimuatnaik menunjukkan sebuah lori sedang mengambil air dari pili bomba sambil diperhatikan oleh ahli parlimen tersebut.
Memetik laporan MalaysiaKini, KPKT akan melakukan siasatan terperinci mengenai dakwaan berkenaan. Menterinya Nga Kor Ming berkata, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap ahli parlimen terbabit kerana perbuatan itu adalah perkara yang tidak bertanggungjawab.
Tambah Nga lagi, “sumber air dari pili bomba digunakan bagi memadam kebakaran bukan digunakan sebagai bekalan air untuk kegunaan seharian. Jika semua orang pakai air pili bomba, jika berlaku kebakaran macam mana? Ini sebenarnya tidak patut berlaku.”
Baca: Pemandangan Cantik Tapi Penuh Sampah, Pantai Di Kelantan Dikritik Kerana Seperti ‘Tongkang Pecah’