Kepada pemegang tiket konsert Justin Bieber ‘Justice World Tour’, anda bolehlah minta ‘refund’ secepat mungkin kerana besar kemungkinan konsert beliau di Malaysia juga bakal dibatalkan.
Menurut sebuah tangkap layar di dalam laman sesawang Ticketmaster, kesemua siri konsert jelajahnya, termasuklah di Amerika Syarikat, Ireland dan Perancis telah ditanda batal (cancelled).
Walau bagaimanapun, Bieber mahupun mana-mana pihak daripada penyanyi itu sendiri belum tampil memberikan apa-apa kenyataan. Mereka juga tidak memberikan sebarang sebab atas pembatalan tersebut.
Namun, Justin Bieber telah disahkan menghidap sindrom Ramsay Hunt tahun lalu yang menyebabkan beliau sukar untuk menyanyi. Penyakit ini juga telah menyebabkan separuh muka penyanyi popular tersebut lumpuh.
Pada waktu tersebut, Bieber masih lagi optimis dan ingin terus mengekalkan konsert jelajahnya. Menurutnya lagi, dia hanya perlukan rehat yang mencukupi sebelum menyambung semula konsert pada masa hadapan.
Beliau juga telah dinasihatkan oleh pakar untuk terus berehat kerana dikhuatiri kesihatannya akan menjadi semakin merosot sekiranya meneruskan konsert jelajah tersebut.
Walau bagaimanapun, ada juga pihak yang mengatakan beliau membatalkan konsert tersebut disebabkan drama di antara beliau, isterinya (Hayley Bieber) dan bekas kekasih Bieber (Selena Gomez). Namun, beliau telah menafikan hal ini.
Sindrom Ramsay Hunt merupakan satu kondisi yang menyebabkan ruam yang menyakitkan pada kawasan telinga, muka dan mulut. Ia berlaku disebabkan jangkitan virus varicella-zoster pada saraf kepala. Ini merupakan virus yang sama yang menyebabkan kayap dan cacar air.
Baca: Sah! Konsert World Tour Justin Bieber Ditangguh Sehingga Mac Tahun Depan