Negara kita hari ini kehilangan seorang negarawan yang sangat ‘legend’ iaitu Tun Dr S Samy Vellu yang meninggal dunia awal pagi ini pada usia 86 tahun.
Bagi rakyat Malaysia yang membesar sekitar tahun 90-an, kita pasti kenal dengan sosok ini yang sangat sinonim dengan jawatannya sebagai Menteri Kerja Raya.
Malah antara kata-kata daripada Tun Samy yang mungkin melekat di minda kita sehingga jadi meme sampai sekarang pastinya…
Ini semua kerja gila, banyak orang sudah gila masuk hospital Tanjung Rambutan atau Tampoi…”
Samy Vellu pernah jadi individu penting dalam Konfrantasi Malaysia-Indonesia 1963?
Kalau ada yang masih ingat, sejarah pembentukan Malaysia pada tahun 1963 bukanlah sesuatu yang mudah kerana keputusan ini telah mendapat penentangan daripada beberapa negara seperti Indonesia dan Filipina.
Menurut kertas kajian dari UUM, pada 16 September 1963, Tunku dengan yakinnya telah mengisytiharkan penubuhan Malaysia yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Singapura di Stadium Merdeka di depan 30,000 rakyat.
Namun pada hari yang sama, Indonesia dan Filipina memilih untuk putuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia dan kedutaan Malaysia di Jakarta dan Medan pula dibakar dalam satu protes.
Reaksi daripada kejadian tersebut, keesokannya (17 September 1963), berlaku pula satu demonstrasi rakyat di kedutaan Indonesia di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Menurut Utusan Malaysia, Tan Sri Khalid Yunus dan Tun S. Samy Vellu (kedua-duanya bekas menteri) yang pada ketika itu berusia 20 dan 27 tahun telah bertindak menurunkan Pancasila (lambang negara Indonesia) dan menaikkan bendera Malaysia.
“Awatlah hampa buat aku macam ni” – Tunku Abdul Rahman
Bendera negara jiran itu katanya telah dibawa ke kediaman Perdana Menteri di Jalan Dato’ Onn dan pada ketika itulah juga Tunku Abdul Rahman telah dipaksa untuk memijak Pancasila.
“Mereka telah memanggil Tunku keluar dan kemudian mengusung Tunku dan menyuruh Tunku pijak, ‘Pijak! Pijak! Pijak!’ simbol yang dibawa oleh mereka itu tetapi apabila Tunku enggan, mereka meletakkan Tunku di atasnya.
“Tunku berkata, “Awatlah hampa buat aku macam ni.” – dipetik daripada buku ‘Hari Ini Sudah Berlalu’ nukilan Zainuddin Maidin.
Menurut Zainuddin Maidin yang juga seorang tokoh wartawan, ada sebab mengapa Tunku tidak mahu memijak Pancasila,
“Tunku tentu mempunyai banyak sebab untuk tidak mahu memijak simbol negara Indonesia. Antaranya adalah kerana sikap beliau yang sederhana yang selalu tergambar dalam pendekatan politiknya juga dalam sikap hidupnya.”
Malah Khalid juga pada masa itu ternampak air mata Tunku bergenang namun tidak tahu sebabnya sama ada terpaksa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan jiwanya atau kerana terharu dengan sikap dia dan Samy.
Apa-apapun selepas daripada insiden ini terdapat banyak lagi rentetan yang berlaku hingga membawa kepada beberapa rundingan perdamaian yang gagal dan selepas Soekarno iaitu Presiden Indonesia digulingkan, Malaysia dan Indonesia akhirnya berdamai dan konfrantasi tamat menjelang tahun 1967.
Apa-apapun nukilan ini hanya sekadar mengimbau kembali sejarah yang berlaku dan mengagumi semangat yang ditonjolkan negarawan kita, Tun Samy Vellu bersempena Hari Malaysia esok.
Takziah buat keluarga mendiang dan semoga jasa-jasanya mendiang terus dikenang selalu.
Sumber: Soscili, Khairul Azri, Utusan Malaysia
Baca: [TERKINI] Tun Samy Vellu Meninggal Dunia Pada Usia 86 Tahun