Konflik Israel-Palestin ini telah pun menyebabkan kematian berpuluh-puluh ribu nyawa dan menyebabkan berjuta-juta orang hilang tempat tinggal ekoran tindakan penjajahan yang berlaku lebih seabad yang lalu.
Baru-baru ini, Hamas telah membunuh lebih dari 800 penduduk Israel selepas melancarkan perang ke atas beberapa bandar di selatan Israel sejak hujung minggu lalu. Ekoran ini, Israel telah melancarkan kempen bom di Jalur Gaza dan membunuh lebih dari 500 orang Palestin.
Tak cukup dengan itu, Israel juga telah menggerakkan tenteranya di sepanjang sempadan Gaza dan sedang bersiap sedia untuk melakukan serangan darat. Isnin lalu, Israel mengumumkan sekatan menyeluruh di Jalur Gaza sekaligus menghalang bekalan makanan, bekalan api dan keperluan penting lain dan membawa ia ke satu kawasan yang telah dikepung menjadikan tindakan mereka ini sebagai jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa.
Selama berdekad-dekad lamanya, media barat, ahli akademik, pakar ketenteraan dan ketua-ketua negara telah menyifatkan konflik ini sebagai sukar dikawal, rumit dan menemui jalan buntu.
Dekat bawah ni adalah semua yang korang perlu tahu tentang konflik terpanjang di dunia yang masih berlaku sehingga hari ini:
Artikel berkaitan: Masjid Di Palestin Hasil Dana Rakyat Malaysia Musnah Dibedil Israel
Artikel berkaitan: Dari Mia Khalifa Ke Elon Musk, Ini 5 Selebriti Yang ‘Bersuara’ Tentang Konflik Palestin-Israel
Deklarasi Balfour
Lebih 100 tahun yang lalu, pada 2 November 1917, Setiausaha Luar Britain pada ketika itu, Arthur Balfour telah menulis satu surat yang ditujukan kepada Lionel Walter Rothschild, seorang tokoh masyarakat Yahudi British.
Kalau korang nak tahu, surat tersebut pendek je. Hanya ada 67 patah perkataan tapi isinya mempunyai kesan seismik terhadap Palestin yang dirasai sehingga ke hari ini. Uish apa yang dia tulis?
Dalam surat tersebut tertulis bahawa kerajaan British komited untuk menjadikan Palestin sebagai tempat tinggal rasmi bagi orang-orang Yahudi dan akan memastikan matlamat ini berjaya dibuat. Surat ini dikenali sebagai Deklarasi Balfour.
Secara dasarnya, kuasa Eropah menjanjikan pergerakan Zionis ke sebuah negara di mana penduduk tetapnya Arab Palestin telah membentuk lebih dari 90 peratus penduduk di sana.
Satu mandat British kemudiannya dibuat pada tahun 1923 dan berlangsung sehingga 1948. Ketika tempoh ini, British telah membantu Yahudi yang kebanyakan dari mereka ini sedang lari dari ancaman Nazi di Eropah untuk berpindah ke Palestin.
Penduduk Palestin pula mula berasa cemas dengan perubahan demografi mereka dan rampasan British ke atas tanah mereka untuk diserahkan kepada Yahudi.
Pemberontakan Arab
Ketegangan yang semakin memuncak ini akhirnya membawa kepada Pemberontakan Arab yang terjadi selama 1936 hingga 1939.
Pada April 1936, satu pertubuhan baru yang dipanggil Jawatankuasa Kebangsaan Arab telah mengajak rakyat Palestin untuk melakukan mogok dengan berhenti membayar cukai, memboikot produk Yahudi sebagai bantahan terhadap penjajahan British serta peningkatan imigrasi Yahudi.
Mogok yang dilakukan selama enam bulan ini telah membuatkan pihak British melakukan penindasan yang ganas iaitu dengan melancarkan kempen menangkap orang-orang Palestin secara besar-besaran serta menghukum mereka dengan memusnahkan rumah-rumah di sana, menjadikan ia amalan yang diteruskan oleh Israel terhadap Palestin sehingga ke hari ini.
Pemberontakan fasa kedua bermula pada penghujung 1937 dan ia diketuai oleh gerakan penentangan petani Palestin, yang menyasarkan pasukan British dan kolonialisme.
Menyebabkan pada separuh kedua tahun 1939, Britain telah menggerakkan sebanyak 30,000 askar di Palestin. Perkampungan di sana telah dibom melalui udara, perintah berkurung dilaksanakan, rumah dimusnahkan, penahanan pentadbiran serta pembunuhan berleluasa.
Disamping itu, British turut bekerjasama dengan komuniti Yahudi di sana dengan membentuk kumpulan bersenjata dan pasukan menentang pemberontakan diketuai oleh British yang dinamakan sebagai “Skuad Malam Khas”.
Di sekitar Yishuv, iaitu tempat yang menjadi pra-negara untuk komuniti Yahudi ini, senjata api telah diimport secara rahsia dan kilang senjata mula ditubuhkan untuk mengembangkan Haganah, pasukan separa Yahudi yang kemudiannya menjadi asas kepada ketenteraan Israel.
Sepanjang pemberontakan selama tiga tahun ini, seramai 5,000 rakyat Palestin telah terbunuh, 15,000 ke 20,000 telah cedera dan 5,600 dipenjarakan.
Campur tangan UN
Pada tahun 1947, populasi Yahudi telah meningkat ke 33% peratus di Palestin tapi mereka hanya memiliki 6% tanah di negara itu.
Ekoran ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) telah menerima pakai Resolusi 181 yang menyeru pembahagian Palestin di antara Arab dan Yahudi.
Namun cadangan ini telah ditolak oleh rakyat Palestin kerana ia memberikan 56% dari Palestin untuk dijadikan negara Yahudi termasuk kawasan-kawasan yang paling subur.
Ketika ini, Palestin memiliki 94% tanah yang memuatkan 67% populasi rakyatnya.
Nakba 1948, pembersihan etnik Palestin
Sebelum tempoh Mandat British luput pada 14 Mei 1948 lagi, separa tentera Zionis telah memulakan operasi ketenteraan untuk memusnahkan bandar dan kampung Palestin bagi membesarkan sempadan Zionis.
Pada April 1948, lebih dari 100 lelaki, wanita dan kanak-kanak Palestin telah dibunuh di perkampungan Deir Yassin yang terletak di pinggiran Jerusalem.
Ini sekaligus telah menetapkan keseluruhan operasi ketenteraan Zionis dan sejak 1947 ke 1949 lebih dari 500 perkampungan, bandar dan pekan telah dimusnahkan dan rakyat Palestin merujuk perkara ini sebagai Nakba atau malapetaka dalam bahasa Arab.
Dianggarkan seramai 15,000 rakyat Palestin terbunuh, termasuk yang mati kerana berpuluh-puluh pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh pihak Israel.
Gerakan Zionis ini telah menawan sebanyak 78% Palestin. Baki 22% pula dibahagikan kepada kawasan yang kini diduduki Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang terkepung. Manakala seramai 750,000 rakyat Palestin telah dipaksa keluar dari rumahnya.
Hari ini, keturunan Palestin hidup sebagai enam juta pelarian di 58 kem di sekitar Palestin dan di negara-negara jiran seperti Lebanon, Syria, Jordan dan Mesir.
Kemudian pada 15 Mei 1948, Israel mengumumkan penubuhannya dan keesokan harinya, perang pertama Arab-Israel bermula dan berakhir pada Januari 1949 selepas gencatan senjata dibuat di antara Israel dan Mesir, Lebanon, Jordan dan Syria.
Pada Disember 1948, Perhimpunan Agung UN telah meluluskan Resolusi 194 yang meminta agar hak dipulangkan kepada pelarian Palestin.
Peperangan di Jalur Gaza
Israel telah menyekat tanah, udara dan lautan di Jalur Gaza sekaligus memerangkap sebanyak dua juta orang di dalamnya sejak tahun 2007.
Pada tahun 2008, 2012, 2014 dan 2021, Israel telah melancarkan empat serangan tentera berlarutan ke atas Gaza. Beribu-ribu rakyat Palestin telah mati termasuk kanak-kanak dan berpuluh-puluh ribu rumah, sekolah dan bangunan pejabat telah dimusnahkan.
Membaik pulih semua bangunan ini sangat mustahil ekoran sekatan telah menghalang semua bahan pembinaan seperti besi dan simen untuk masuk ke dalam Gaza.
Serangan pada tahun 2008 telah melibatkan penggunaan senjata yang dilarang oleh undang-undang antarabangsa termasuk gas fosforus.
Pada tahun 2014 pula, selama 50 hari, Israel telah membunuh lebih dari 2,100 rakyat Palestin termasuk 1,462 orang awam dan hampir 500 kanak-kanak.
Manakala ketika serangan yang dipanggil Operation Protective Edge oleh Israel telah menyebabkan hampir 11,000 rakyat Palestin cedera, 20,000 rumah musnah dan setengah juta orang hilang tempat tinggal.
Sumber: Al Jazeera