Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil tindakan tegas dengan membuat laporan polis selepas beberapa insiden pengguna jalan raya tetap melalui jalan ditutup akibat tanah runtuh sehingga mengakibatkan kemalangan maut.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kejadian terbaharu di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring (Bukit Kawah), Kuala Berang semalam meragut dua nyawa apabila sebuah MPV yang dinaiki pasangan bakal berkahwin terhumban ke dalam gaung.
Alexander berkata, KKR telah membuat laporan polis berhubung tindakan menceroboh laluan yang sudah ditutup itu.
Menurutnya, pelbagai langkah pencegahan sebenarnya telah diambil termasuk menutup jalan sepenuhnya, memasang papan tanda serta meletakkan sekatan konkrit di kedua-dua arah.

Artikel berkaitan: Kenderaan Jatuh Gaung, Pasangan Pengantin Terkorban
Artikel berkaitan: Kereta Terjunam Dalam Gaung, Lelaki Ditemukan Maut Lepas Seminggu Dilaporkan Hilang
Beliau menegaskan, kejadian ini menjadi peringatan besar kepada semua pengguna jalan raya supaya mematuhi arahan keselamatan terutamanya di kawasan berisiko tanah runtuh.
Dalam pada itu, Alexander turut memaklumkan bahawa penutupan melibatkan sebahagian Jalan Persekutuan FT36 dari Seksyen 55.60 hingga 139.30, yang dipantau secara berterusan oleh pihak konsesi.
JKR juga telah menerima kelulusan untuk membina jambatan baharu di Laluan FT036, Seksyen 89.00, dengan kos RM36 juta. Projek kini berada di fasa perolehan dan Surat Setuju Terima dijangka dikeluarkan pada suku keempat Disember ini.
Sebelum ini, pada Rabu, media tempatan melaporkan seorang lelaki terselamat selepas kenderaannya terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 45 Jalan Gua Musang–Lojing.
Mangsa dipercayai turut melalui jalan ditutup sejak tengah malam akibat tanah runtuh sebelum kenderaannya terbabas.
Sumber: Berita Harian
