Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu laporan baru-baru ini berkata pemantauan produk madu di pasaran negara ini sejak tahun 2016 mendapati hanya sekitar 6 peratus daripada jumlah produk tidak mencapai standard yang ditetapkan.
Perkara tersebut didedahkan selepas wujudnya dakwaan kononnya 9 daripada 10 madu yang dijual di Malaysia adalah palsu atau tiruan. Menurut KKM lagi, tindakan telah diambil ke atas mana-mana pengeluar atau produk yang didapati tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan kementerian tersebut.
KKM menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sentiasa memantau produk madu di pasaran. Sebanyak 769 sampel produk madu pelbagai jenama telah diambil sejak tahun 2016 sehingga sekarang.
Hasil pemantauan tersebut mendapati hanya 45 sampel (5.85 peratus) daripada sampel yang diambil tersebut tidak mematuhi piawaian di bawah Peraturan Makanan 1985 dan tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap syarikat dan produk terbabit.
Seksyen 13(2)(e) dalam peraturan berkenaan memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang telah diadun tanpa mematuhi piawaian atau spesifikasi yang ditetapkan oleh mana-mana peraturan yang dibuat di bawah akta tersebut.
Jadi, mana-mana pihak yang didapati melanggar perkara tersebut boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara selama tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.
Kajian yang dijalankan oleh Dr Zulkifli Mustafa daripada Jabatan Neurosains, Universiti Sains Malaysia mendapati 90 peratus produk madu yang ada di pasaran termasuklah madu kelulut adalah palsu.
Dalam menentukan ketulenan produk madu tersebut, kementerian seterusnya berkata pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Pertanian untuk menentukan ketulenan madu menggunakan kaedah isotop yang disyorkan oleh Codex Alimentarius, iaitu koleksi yang diterima pakai di peringkat antarabangsa dalam piawaian makanan.
Artikel berkaitan : Jangan Berikan Madu Dekat Bayi! Doktor Kongsikan Ia Boleh Bawa Maut
Artikel berkaitan : Masukkan Arang Dalam Kopi, Peniaga ‘Kopi Joss’ Berdepan Denda RM10,000 – KKM
Selain itu, Kementerian Kesihatan juga menawarkan Skim Pensijilan Makanan Tulen yang bertujuan untuk mengiktiraf produk makanan yang disahkan tulen atau tulen dan memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Skim Pensijilan ini.
Ini termasuk produk madu, daging, kopi dan sarang burung walit. Setakat ini, tujuh syarikat telah memperoleh Pensijilan Tulen untuk produk madu daripada Kementerian Kesihatan.
Jelas KKM lagi, produk madu mesti mengandungi tidak kurang daripada 60 peratus gula terkurang, mempunyai kandungan sukrosa tidak lebih daripada 10 peratus, dan tidak boleh mengandungi lebih daripada 80 mg hidroksimetilfurfural (HMF) setiap kg produk.
Sumber : malaymail