Istilah “Rafah Is Gone” yang tular di media sosial merujuk kepada keadaan terkini di Rafah yang mengalami kemusnahan hampir sepenuhnya susulan serangan tertumpu di kawasan tersebut.
Selain itu, frasa berkenaan turut menggambarkan situasi di mana penduduk Gaza tidak lagi dapat memasuki Rafah kerana kawasan itu kini didakwa dijadikan zon ketenteraan dengan kawalan yang sangat ketat.
Menerusi hantaran di Threads, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, kawalan di pusat pemeriksaan (checkpoint) kini juga semakin ketat.
Malah, mereka yang ingin melaluinya perlu menjalani proses saringan yang mengambil masa hampir sehari di sempadan.
Ipar saya yang berjaya memasuki semula Gaza terpaksa melalui beberapa pemeriksaan keselamatan melibatkan pihak Mesir, tentera Israel, tentera Eropah serta kumpulan bersenjata sebelum dibenarkan masuk.
Selepas selesai proses saringan yang panjang, individu tersebut hanya dapat bertemu ahli keluarga di Khan Yunus yang terletak di utara Rafah.
Jadi, Rafah is gone,” katanya
Artikel berkaitan: Gelombang Kedua Misi Kemanusiaan, 11 Lagi Kapal Sedang Belayar Ke Gaza?
Artikel berkaitan: Kronologi Perjalanan Global Sumud Flotilla 2025 Ke Gaza, Sebahagian Kapal Kini Ditahan Israel

Beliau turut memaklumkan bahawa Rafah sedang dirancang untuk diletakkan di bawah pentadbiran Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF).
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya menggerakkan tekanan terhadap kerajaan masing-masing agar tidak terlibat dalam sebarang perancangan berkenaan.
Tambahnya, setakat ini tindakan di bawah Global Sumud Flotilla (GSF) dilihat sebagai antara usaha yang paling berkesan.
“Kalian boleh memilih untuk memperkecilkan usaha yang sedang dilakukan, mengejek negara jiran atau terus berbalah sesama sendiri.
“Namun, kalian juga mempunyai pilihan untuk bersama-sama terlibat dalam usaha mengubah keadaan,” katanya.
Sumber: Threads Nadir Al-Nuri
