Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak menolak wujudnya elemen buli, pengabaian serta gangguan seksual dalam kes membabitkan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Perkara itu dimaklumkan beliau di Dewan Rakyat pada hari ini yang menjelaskan beberapa perkara mengenai kes tersebut.
Jelas Saifuddin, sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk murid mendapatkan ilmu, justeru sebarang bentuk kejadian membabitkan unsur buli tidak boleh sama sekali ditutup atau disembunyikan.
Artikel berkaitan: “Kalau siasatan tak telus, tuntutan rakyat jadi sia-sia” – Peguam Keluarga Zara Qairina Sambut Baik Langkah JIPS
Artikel berkaitan: Penggali Kubur Arwah Zara Qairina Kongsi Pengalaman, Dengan Kuasa Allah Jasad Masih Utuh & Kain Kafan Masih Elok
“Polis cadangkan kepada peguam negara apakah hala tuju siasatan yang akan dibawa. Saya tak tolak selepas membaca pertuduhan itu, ada elemen buli yang jelas.
“Sebab itu dari pihak kita pun sama, tidak boleh ada usaha atau percubaan menutup jika ada unsur buli di sekolah yang sepatutnya menjadi tempat selamat untuk anak-anak kita.
“Malah dalam kes Zara, turut wujud elemen pengabaian kerana arwah sendiri pernah membuat aduan kepada pihak sekolah,” katanya yang turut menambah terdapat unsur gangguan seksual dalam kes ini ketika sesi soal jawab.
Dalam pada itu, beliau juga menyatakan prosiding inkues yang akan dijalankan September depan adalah platform terbaik bagi mendedahkan semua fakta secara telus, seterusnya memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini, sebanyak 195 saksi dikenal pasti dan kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.