Semalam negara dikejutkan dengan kes tragik melibatkan pasangan suami isteri apabila si suami bertindak mengelar isterinya yang baru selesai tempoh berpantang dan anaknya yang baru berusia kira-kira 2 bulan.
Ianya menjadi lebih hangat apabila difahamkan lelaki ini menunggang motosikal dalam keadaan bogel di sebuah jalan raya selepas melakukan tindakan kejam terhadap isteri dan juga anaknya.
Menurut Bernama, kedua-dua mangsa ditemui meninggal di depan pintu rumahnya di Bakar Batu, Johor Bahru pada 4 Julai lalu dalam keadaan yang berlumuran darah.
“Diorang bahagia, tak pernah gaduh pun lepas kahwin”
Tak terkecuali dengan berita yang mengejutkan itu, bapa kepada mangsa iaitu Rosman Ahmad, 58 tahun, berkata bahawa dia dan keluarga tak menyangka kejadian itu berlaku kepada anak perempuan dan juga cucunya.
Ini kerana, ujar Rosman kepada Harian Metro, dia sendiri tak pernah mendengar keluhan dari anaknya tentang hubungan bersama suami malah katanya lagi mereka berdua tidak pernah bergaduh sejak mendirikan rumah tangga pada tahun lalu.
“Sejak kahwin, diorang memang hidup bahagia, anak saya dan juga menantu memang anak yang baik. Sepanjang kahwin, tak pernah ada masalah, senang kata tak pernah gaduh” – ujar Rosman
“Menantu saya tak ada pekerjaan tetap”
Tambahnya lagi, tindakan kejam itu mungkin berpunca dari masalah di tempat kerja kerana difahamkan menantunya tidak mempunyai pekerjaan yang tetap sejak kebelakangan ini.
“Dulu dia ada buat kerja pembersihan kat stadium, lepas tu dia berhenti kerja. Kemudian, saya dapat tahu dia kerja sambilan cuci kapal kat Pasir Gudang dan bantu penyediaan makanan” – Tambah Rosman
Menurutnya, anak dan menantu sepatutnya bersanding pada 24 Julai ini selepas tak dapat diadakan pada tahun lepas kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah segala persiapan telah pun siap.
Difahamkan kedua-dua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu, Johor Bahru hari ini selepas bedah siasat selesai dijalankan. Kes itu akan disiasat mengikut Kes 303 Kanun Keseksaan.
Katanya polis akan keluarkan kenyataan… Kita sama-sama tunggu okay?
Baca: Lelaki Tunggang Motor Bogel Lepas Kelar Isteri & Anak Dah Ditahan Polis