Tahukah anda, ada seekor kucing yang bernama Oscar yang dikatakan boleh meramal kematian?
Pada awalnya, Oscar dibela sebagai kucing terapi di sebuah rumah jagaan di Amerika Syarikat. Bagaimanapun, selepas beberapa ketika, para pekerja di situ mula menyedari sesuatu yang aneh tentang kucing tersebut.
Apabila kucing berusia 2 tahun itu meluangkan masa yang panjang bersama seorang pesakit, mereka mungkin akan meninggal dunia dalam masa beberapa jam!
Bakat luar biasa kucing tersebut juga telah diabadikan di dalam sebuah jurnal perubatan yang bertajuk Classic cases revisited: Oscar the cat and predicting death yang dimuatkan di dalam Jurnal of the Intensive Care Society.
Bukan itu sahaja, Oscar juga mempunyai ketepatan yang luar biasa.
Selepas hampir 25 kali Oscar berjaya meramal kematian pesakit, pihak rumah jagaan tersebut terus bertindak menelefon ahli keluarga terdekat sekiranya Oscar didapati tidur atau meluangkan masa dengan pesakit tertentu.
Artikel berkaitan: “Dah buat salah masih diusap-usap” – Netizen Terhibur Tengok Kucing Tenang Duduk Atas Kereta Berjalan
Artikel berkaitan: “Sopannya dia” – Ramai Cair Tengok Gelagat Kucing Ini Ketuk Pintu Sebelum Masuk Bilik Tuan
Malah, dalam sebuah kes lain, kakitangan yakin bahawa seorang penduduk akan meninggal dunia, tetapi Oscar enggan duduk bersama pesakit tersebut.
Sebaliknya, Oscar memilih pesakit lain yang kelihatan lebih sihat, dan orang itu meninggal dunia terlebih dahulu.
Menurut para penyelidik, Oscar mungkin dapat menghidu bahan biokimia tertentu yang dikeluarkan oleh sel pada penghujung nyawa dan memilih untuk menemani pesakit pada saat-saat akhir mereka.
Bagaimanapun, mungkin ada faktor-faktor lain yang menarik minat Oscar, contohnya kehangatan badan pesakit atau hubungannya dengan pesakit tersebut. Bagaimanapun, faktor tersebut tidak dapat menjelaskan ketepatan Oscar dalam meramalkan kematian pesakit.
Para pekerja di rumah jagaan tersebut pula berkata, ramai ahli keluarga yang berterima kasih kepada Oscar kerana menemani pesakit sehingga akhir hayat, sesuai dengan tugasnya sebagai kucing terapi.
Oscar meninggal dunia pada 2022, dan sepanjang hidupnya dia telah meramalkan lebih 100 kematian dengan tepat.
Sumber: The Guardian