Tak dinafikan, ada beberapa negara yang mempunyai pantang larang yang mesti dipatuhi lebih-lebih lagi bila kita datang ke negara itu sebagai seorang pelancong.
Satu kisah yang dikongsikan oleh @SyafeekIkhwan di X, menceritakan pengalaman seram diganggu makhluk halus selepas pulang dari Bali, Indonesia.
Tak sedap badan sehari sebelum balik
Pada mulanya, Syafeek melancong berdua bersama rakannya dan mujur tiada apa yang pelik berlaku sepanjang di Bali. Ini juga kali kedua Syafeek melancong ke situ untuk meneroka budaya dan adat di negara tersebut.
Siap tengok tarian kecak di Garuda Wisnu Kencana, tepat waktu Maghrib. Aku memang tak rasa apa-apa yang pelik waktu tu, semata hiburan.
Pun begitu, sehari sebelum pulang ke Malaysia, dia berasa tidak sedap badan seperti mahu demam. Namun, dia gagahkan diri untuk pulang ke Malaysia dan bersangka baik mungkin kerana keletihan yang melampau selama bercuti di Bali.
Esoknya (Jumaat) masuk kerja. Tapi memang badan rasa barai betul. Lepas solat Jumaat tak boleh tahan dah. Terpaksa minta izin balik awal. Pergi klinik doktor kata demam biasa.
Gangguan bermula…
Syafeek mula ‘diusik’ oleh makhluk halus pada Ahad malam selepas pulang dari rumah keluarganya. Untuk makluman, Syafeek tinggal seorang diri di rumah dua tingkat miliknya.
Sekitar jam 11 malam, aku nak solat Isyak dekat tingkat bawah. Tingkat atas gabung dengan satu siling tinggi. Jadi semua bunyi dekat atas akan bergema sangat kuat. Baru nak mula rakaat pertama, tiba-tiba bunyi suis ditekan dekat tingkat atas.
Selang beberapa saat, bunyi barang kecil jatuh dekat tingkat atas. Aku dah mula tak boleh fokus solat sebab aku bukan jenis letak barang merata dalam rumah. Jadi, mustahil apa-apa benda boleh jatuh tiba-tiba.
Walaupun sudah diganggu untuk kali kedua, Syafeek tetap solat seperti biasa tiba-tiba salah satu pintu di tingkat atas berdentam kuat. Dia terus berhenti solat lalu keluar dari rumah untuk menenangkan diri.
Setelah berdiri hampir setengah jam di luar rumah, dia akhirnya kuatkan diri untuk masuk semula dan terus solat Isyak. Dia turut memasang ayat suci Al-Quran semasa hendak tidur.
Tak lama tu, aku dengar macam benda bergeser betul-betul di siling atas katil. Aku ikut baca ayat Quran dan terus terlelap. Sekitar jam 4 pagi, aku terjaga.. dengar bunyi dekat kerusi urut sebelah katil.. lepas tu terlelap juga.
Esoknya hari raya Aidiladha dan Syafeek pun terus pergi ke rumah keluarganya. Ketika itu, demamnya semakin teruk dan pada malam itu di pulang semula ke rumahnya.
Elok nak terlelap, tiba-tiba terdengar tombol pintu berlaga dengan dinding. Malam esoknya, aku ajak kawan temankan.. lepas solat Isyak, dia tanya “Kau dengar bunyi kunci dekat bawah?”
Mereka bagaimanapun menghiraukan sahaja gangguan itu.
Terpijak sesuatu dekat Bali..
Setelah itu, dia cuba untuk berikhtiar rawatan Islam dengan seorang ustazah dan betul ada ‘benda’ yang mengikutnya dan duduk di rumah tersebut. Selepas itu, dia terdengar cerita daripada seorang rakan sekerja yang turut diganggu selepas pulang dari Bali.
Dia cerita kenapa boleh jadi macam tu? Dia terlangkah satu benda ni (dalam gambar di bawah). Korang memang akan tengok benda ni di mana-mana, depan kedai, kaki lima. Ada yang masih baru dan ada yang kena pijak.
Bila ingat balik, aku memang ada pijak dan langkah benda ni sebab jujurnya aku ingat daun biasa je. Aku pijak pun memang yang dah dipijak orang dan tiada siapa cakap dekat aku pasal ni, Tapi memang salah sendirilah.
Mujur selepas beberapa kali berubat dan ‘pagar’ rumah, gangguan itu semakin hilang. Syafeek bagaimanapun menasihati orang ramai supaya sentiasa menghormati adat dan budaya di negara orang.
Dan peringatan untuk yang nak travel ke sana atau mana-mana saja, tolong respect adat dan budaya mereka. Respect bukan bermakna kita beriman dengannya. Cuma kita kena tahu at least, do’s and don’ts.
Dia juga tidak menghalang untuk sesiapa yang mahu ke Bali kerana tempat itu sangat cantik namun mestilah beringat dan menjaga adab.
Meremang min baca!
Sumber: X