in

“Kena jalan kaki, redah padang pasir tanpa makanan” – 47 Warga Emas Ditipu Ejen Haji, Dipaksa Lalui Laluan Bahaya ke Makkah

haji

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Hasrat 47 jemaah warga emas dari Malaysia untuk menunaikan haji bertukar menjadi detik hitam dalam hidup apabila mereka dipercayai ditipu ejen haji tempatan, yang didakwa turut melibatkan seorang agamawan terkenal.

Sebaik tiba di Jeddah, Arab Saudi pada 9 Mei lalu, jemaah terbabit terkejut apabila dimaklumkan mereka tidak mempunyai visa haji dan dilarang masuk ke kota suci Makkah.


Namun lebih mengejutkan, mereka kemudian dipaksa berjalan kaki melalui laluan berbahaya demi mengelak dikesan pihak berkuasa Arab Saudi.

Menurut Sharifah Azzahra, anak kepada salah seorang pasangan warga emas yang menjadi mangsa, ibu bapanya berusia 64 dan 63 tahun serta ibu saudaranya berumur 54 tahun terpaksa meredah kawasan berbatu, padang pasir, lebuh raya dan pagar berduri tanpa sebarang dokumen sah, makanan atau pengawasan keselamatan.

“Ibu beritahu saya melalui WhatsApp… mereka cuma bawa beg kecil, tak ada makanan langsung dan bagasi semua ditinggalkan. Lebih menyayat hati, mereka dipecahkan kepada kumpulan kecil supaya tak mudah dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Lebih menyedihkan, sebaik tiba di Makkah, jemaah-jemaah ini termasuk ibu bapanya dimasukkan ke bilik sempit, dikunci dari luar dan tidak dibenarkan keluar sama sekali.

Mereka juga didakwa dimanipulasi secara psikologi melalui ceramah agama supaya tidak memberontak atau membuat aduan.

pakej haji
Gambar pakej haji yang ditawarkan.

Artikel berkaitan: Selar Insiden Jemaah Meninggal Dalam Pesawat, Arab Saudi Beri Amaran Potong Kuota Haji Indonesia

Artikel berkaitan: Jemaah Haji Dari Togo, Afrika Barat Melahirkan Bayi Ketika Di Padang Arafah

Bagaimanapun, Sharifah membuat laporan polis di Balai Polis Ukay Perdana, Ampang semalam bagi menuntut keadilan untuk ibu bapanya dan semua mangsa yang teraniaya.

Tambah Sharifah, ada dalam kalangan jemaah merupakan pesakit kronik dan bergantung kepada insulin.

Namun apabila ubat mereka ditinggalkan dalam bagasi, pihak ejen mengenakan bayaran tambahan sehingga 8,000 riyal (RM9,000) untuk mengambil semula ubat tersebut.

Lebih mengecewakan, setiap jemaah telah membayar lebih RM30,000 bagi mengikuti pakej haji ini, namun dilayan seolah-olah bukan manusia.

“Ibu saya kata, mereka ditempatkan dalam bilik yang sangat sempit, dan diminta tidak keluar langsung. Makanan pula sangat menyedihkan. Mereka terpaksa makan nasi mentah, dua ketul ayam kena kongsi lima orang, kadang-kadang cuma makan mi segera,” luahnya.

BHsedih2 1749883918
Keadaan bilik penginapan yang sempit serta makanan yang diterima jemaah warga emas yang menjadi mangsa penipuan pakej haji.

Menurut Sharifah, ada jemaah yang cuba melarikan diri, tetapi tidak tahu ke mana hendak dituju kerana tidak memiliki sebarang dokumen sah dan tidak tahu lokasi mereka berada.

Dalam perjalanan menuju ke Arafah, mereka akhirnya dikesan dan ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi. Namun selepas hampir sehari ditahan dalam bas, kesemua mereka akhirnya dilepaskan dan diarahkan meninggalkan negara itu serta-merta.

“Ejen arahkan semua diam sahaja dan cakap datang sendiri-sendiri kalau ditahan. Tapi akhirnya, semuanya tetap gagal. Bukan saja tak dapat tunai haji, duit pun hangus begitu sahaja.

“Saya mohon pihak berkuasa siasat kes ini dan ambil tindakan tegas terhadap ejen yang tidak bertanggungjawab ini. Ia bukan sahaja aniaya warga emas, malah memalukan nama negara,” katanya.

Difahamkan, kesemua 47 jemaah warga emas berkenaan kini dalam perjalanan pulang ke Malaysia dan dijangka tiba esok, selepas transit di Turkiye kelmarin.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.