Isnin lalu, kita dikejutkan dengar berita kemalangan ngeri melibatkan lima kenderaan yang berlaku di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara Ayer Keroh.
Kemalangan yang melibatkan sebuah lori Foton, bas persiaran, kereta Perodua Bezza, lori treler Nissan, dan MPV Toyota Estima itu menyebabkan tujuh maut dan 33 lagi cedera.
Terbaru, dua kanak-kanak yang terselamat dari kemalangan tragis itu difahamkan masih belum mnegetahui kedua-dua ibu bapa mereka sudah meninggal dunia.
Menurut laporan Astro Awani, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata meskipun keadaan mereka dilaporkan stabil, namun tindakan itu diambil bagi memastikan emosi dua beradik itu tidak terganggu.
“Apa yang saya dimaklumkan, kedua-dua kanak-kanak itu, Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, Nur Sofea Humaira, 4, belum tahu ibu dan bapanya telah tiada.
Kita tidak mahu ganggu emosi Muhammad Uwais yang mengalami kecederaan parah di paha kanannya apabila tulangnya pecah dan adiknya juga baru sahaja selesai pembedahan dan pastinya masih dalam kesakitan,” katanya.
Sebagai info, mereka yang maut termasuk lima sekeluarga, Khairul Ikhwan Mazupi, 32, bersama isteri, Fadzlenna Ramli, 32, serta anak bongsu mereka, Muhammad Umar, 2, dan ibu serta ayah Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69.
Sumber: Astro Awani