Setelah hampir berbelas tahun berlalu, Mahkamah Tinggi hari ini telah membenarkan saman yang difailkan keluarga model Mongolia, Altantuya Shaariibuu berhubung kematian wanita itu pada 2006 terhadap 4 defendan termasuklah kerajaan Malaysia.
Menurut Sinar Harian, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan demikian selepas mendapati pihak plaintif iaitu 3 orang ahli keluarga Mongolia berjaya buktikan kes mereka terhadap defendan kedua dan ketiga.
Jumlah ganti rugi RM5 juta juga disifatkan adil dan memadai berbanding jumlah RM100 juta sebelum ini yang difailkan yang mana ia disifatkan berlebihan dan tak boleh ditakrifkan berdasarkan prinsip sahaja.
Dalam pada itu, mahkamah juga perintahkan defendan bayar kos sebanyak RM25,000 kepada setiap plaintif.
Berdasarkan fakta dan undang-undang, kerajaan selaku defendan keempat merupakan majikan kepada defendan pertama dan kedua, bertanggungjawab terhadap tindakan mereka yang mencabuli undang-undang.
“Mereka telah menjalankan tugas sebagai pegawai polis, telah menggunakan sumber yang disediakan oleh Polis Diraja Malaysia dan penghakiman dibuat atas liabiliti terhadap keempat-empat defendan,” jelasnya.
Terdahulu, bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya iaitu Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga telah memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007 yang mendakwa kematian model itu telah menyebabkan mereka alami trauma mental dan psikologi.

Perkara ini telah melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan teruk.
Mereka juga menamakan 2 bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar; penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.