Baru-baru ini, heboh apabila sebuah rumah amal diserbu oleh pihak berkuasa susulan dakwaan terdapat aktiviti eksploitasi kanak-kanak serta amalan seks luar tabii.
Rumah amal yang dikatakan melakukan aktiviti sedemikian merupakan milik ‘Global Ikhwan Service and Business Holding’ (GISBH).
Artikel berkaitan: GISB Nafi Eksploitasi Kanak-kanak, Anggap Tuduhan Sebagai Fitnah Berniat Jahat
Menurut laporan Berita Harian, dalam ‘Op Global’ yang dijalankan semalam, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.
Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.
Apakah GISBH?
Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) merupakan sebuah syarikat yang sudah berjaya melebarkan rangkaian perniagaan dari dalam sehingga ke luar negara.
Mereka merupakan syarikat Melayu-Islam antarabangsa yang melabur di 17 negara, tanpa sebarang pinjaman bank.
GISB memiliki 18 anak syarikat yang menceburi tujuh sektor, iaitu pembangunan modal insan, pendidikan, perindustrian, media & perhubungan, penternakan & perladangan, perniagaan & perkilangan, serta pembangunan keluarga & remaja.
Artikel berkaitan: Penduduk Dakwa Tak Pernah Nampak Kanak-kanak Rumah Amal GISBH Pergi Sekolah
Sering dikaitkan dengan Al-Arqam?
Meskipun GISBH gah dengan perniagaan mereka namun namanya sering terpalit dengan gerakan yang diharamkan kerjaan iaitu Al-Arqam.
Merujuk kepada kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Lokman Hakim Pfordten, perkara ini berlaku kerana pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad adalah pengerusi Global Ikhwan Sdn Bhd yang kemudiannya ditukar nama kepada GISB Holdings (GISBH).
Selepas pengharaman Al-Arqam, pengikutnya menubuhkan Rufaqa Corporation disusuli penubuhan GISBH pada 2008 sebagai organisasi perniagaan berasaskan agama dengan doktrinnya masih tarekat Aurad Muhammadiah yang diharamkan, Allahyarham bagaimanapun meninggal dunia pada 2010.
“Kita pegang iktikad yang sama di Malaysia dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan dari sudut syariatnya, kita bermazhab Syafie seperti mana yang ada di tanah air.
Walaupun ada sebahagian daripada tenaga kerja kita bekas Al-Arqam…(tapi) Al-Arqam sudah jadi sejarah dan (kita) tak ada kaitan lagi dengan apa-apa yang telah jadi sejarah,” tegas Lokman menerusi FMT.
Pendedahan ‘rumah amal’ milik GISBH
Isu ini mula timbul dalam sebuah audio siar (podcast) oleh aktivis serta rapper terkenal Caprice, serta beberapa laman tanpa nama (anonymous) yang tular berkenaan sisi gelap syarikat besar tersebut.
Pada ketika itu, masih belum ada campur tangan oleh pihak berkuasa sehinggalah semalam apabila pihak polis membuat operasi serbuan yang dipanggil Op Global.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang serta kesalahan lain.
Mengulas cara operasi kumpulan itu, selain diliwat dan meliwat, Razarudin berkata, mangsa yang tidak sihat juga tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan mereka menjadi kritikal.
“Mangsa kanak-kanak dan sentimen agama digunakan untuk menagih simpati bagi mendapatkan sumbangan.
Menggunakan objek yang dipanaskan bagi mencederakan mangsa sebagai tanda menghukum atas kesilapan yang dilakukan. Selain itu menyentuh tubuh mangsa dengan alasan melakukan rawatan secara perubatan Islam,” katanya.
Op Global itu turut dibantu 287 individu iaitu rakan strategik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kimia Malaysia bagi membanteras kegiatan jenayah itu.
“GISBH nafi lakukan eksploitasi kanak-kanak”
Susulan pendedahan serta serbuan itu, pihak GISBH mengeluarkan kenyataan di mana pihaknya menafikan tuduhan berkenaan eksploitasi kanak-kanak itu.
GISBH berkata syarikat itu menafikan segala tuduhan dilemparkan kepadanya sambil menegaskan ia tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti melanggar undang-undang, khususnya membabitkan kanak-kanak sebagai pekerja.
GISB berkata, pihaknya berdoa agar segala fitnah, tohmahan, buruk sangka dan kebencian terhadap syarikat itu dapat dihentikan.