Sudah menjadi kebiasaan, manusia akan bertindak di luar jangkaan apabila sedang panik. Kadang-kadang perkara yang dilakukan itu boleh mengundang bahaya terhadap orang sekeliling dan diri sendiri.
Itulah yang berlaku dalam sebuah insiden semalam apabila sepasang kekasih ditangkap selepas kereta yang mereka naiki merempuh sebuah kereta peronda ketika polis sedang membuat pemeriksaan kawasan.
Pemandu kereta berkenaan bertindak sedemikian apabila polis mendapati mereka sedang berdua-duaan di belakang sebuah premis di Jalan Humaira, Tanah Merah, Kelantan.
Pasangan kekasih itu berada dalam keadaan mencurigakan
Menerusi laporan Kosmo!, kejadian dalam pukul 11 malam itu, lelaki berusia 20 tahun dan teman wanitanya 22 tahun berada dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
Menurut Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superitendan Wan Zulfikri Wan Othman, disebabkan perkara tersebut, anggota polis yang sedang membuat rondaan dengan menaiki MPV terus memeriksa kereta tersebut.
Menurutnya, ketika pasangan itu menyedari ada pihak berkuasa menghampiri kereta mereka, pemandunya telah bertindak memecut laju sebelum merempuh bahagian pintu depan kiri kereta polis.
“Anggota polis terus mengejar kereta suspek yang telah merempuh tiga buah kereta lain di tepi jalan sebelum hilang kawalan semasa tiba di sebuah stesen minyak di Gertak Chaber di sini. Keadaan itu menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan amaran ke udara sebelum kedua-dua suspek ditahan.
Siasatan awal mendapati, lelaki tersebut cuba merempuh kenderaan MPV untuk melarikan diri selepas terkejut melihat anggota polis yang mahu membuat pemeriksaan semasa dia bersama teman wanitanya berada di dalam kereta itu,” katanya.
Difahamkan, lelaki yang merupakan pemandu kereta itu kini ditahan reman selama tujuh hari manakala kekasihnya tiga hari masing-masing bermula hari ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 307/279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Baca: Kantoi Ramai Skandal, Suami Ceraikan Isteri Masa Hamil 2 Bulan & Tuduh Bukan Anaknya