Siapa sangka seorang anak kecil yang dahulunya tidak suka memegang pensel dan membenci penulisan kini menjadi antara seorang penulis termuda di Malaysia?
Madhu Barghavi Vijayakumar telah melancarkan buku kanak-kanak pertamanya pada umur tujuh tahun. Namun tiada siapa yang tahu, dua tahun tahun lepas anak kecil ini telah dikesan menghidap autisme.
Walaupun begitu, kini dia menjadi inspirasi kepada keluarga yang mempunyai anak-anak yang menghidap autisme sepertinya. Barghavi telah melancarkan sebuah buku yang bertajuk ‘The Golden Parrot and the Magic Teapot’ di Muzium Negara semalam.
Menurut tutor peribadinya, Mahaletcumi Tavamany,
Ia sesuatu yang menakjubkan untuk melihat gadis sepertinya yang tidak mahu membaca, menulis mahupun memegang pensel boleh pergi sejauh ini.”
Dalam majlis tersebut Barghavi juga telah membaca dua kisah pendek dari bukunya di atas pentas sambil ditemani ibu, Jegadeswari Krishnan. Hebatnya!
Menurut Mahaletchumi, tiga tahun lepas Barghavi mempunyai kemahiran motor yang lemah dan Mahaletchumi terpaksa melatihnya dengan cara bermain dengan tanah liat, guli dan plastisin untuk mengukuhkan cengkaman tangannya.
Dan sehingga sekarang pun, Barghavi masih tidak begitu meminati penulisan.
“Dia lebih meminati aktiviti seperti mendengar orang membaca buku,” kata Mahaletchumi lagi.
Barghavi telah mengikuti kelas satu jamnya bersama Mahaletchumi sejak tahun 2014 lalu. Menurut Jegadeswari, idea untuk menulis kisah pertamanya mengenai burung kakak tua emas (The Golden Parrot) itu terhasil apabila guru sekolahnya memberi buku nota kosong untuk menulis sebuah cerita.
Buku tersebut hanya ada ilustrasi kerana dia amat membenci penulisan. Tapi disebabkan dia kerap mengulangi kisah tersebut kepada saya, saya menggalakkannya untuk menulis kisah itu.”
“Dia mengambil masa beberapa minggu untuk menulis dan selepas itu dia datang lagi dengan kisah baru iaitu mengenai dengan teko ajaib (Magic Teapot),” tambahnya lagi.
Bagi Jegadeswari,
Jangan bentukkan anak anda menjadi sesuatu yang anda inginkan. Apa yang saya buat ialah menerima dia seadanya dan cuba memberi sokongan dan dorongan kepadanya dalam melalui kesukaran dalam hidup.”
Saya juga tidak melihat membesarkannya itu merupakan satu cabaran tetapi ia adalah suatu pengalaman. Saya tidak cuba mengubah apa-apa di dalam dirinya dan dia telah membesar mengikut acuan dirinya sendiri.”
Dalam usaha Jegadeswari untuk membentuk anaknya menjadi seorang penulis muda, dia akhirnya bertemu dengan sebuah keluarga yang menawarkan diri untuk menanggung segala kos penerbitan buku tersebut.
Buku yang dijual dengan harga RM28.90 ini diterbitkan oleh Rakyat Media Industries dan keuntungan dari hasil penerbitan tersebut akan didermakan kepada pertubuhan NGO Love Autisme Society (Persama).
Persama yang dinaugi Tan Sri Dr. M Kayveas bersama pengasas Persama, Thia Laxshman dan pengarah filem autisme, Redha, Tunku Mona Riza turut hadir ke majlis tersebut memberi sokongan.
Setiap anak ada kelebihannya yang tersendiri. Kitalah ibu bapa yang harus peka dan sentiasa memberi dorongan dan sokongan atas minat mereka itu.