Cuaca panas melampau kini melanda banyak negeri di Malaysia, perkara ini menggusarkan ramai pihak terutama sekali mereka yang mempunyai anak kecil.
Terbaru, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia kira-kira 7 pagi semalam dan disyaki disebabkan oleh strok haba.
Menerusi laporan Berita Harian, bapa kepada kanak-kanak itu, Syahrol Azmi Mohd Hekak, berkata anak keduanya Airiel Syahren disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat ‘septic shock secondary to meningoencephalitis‘ di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor.
Difahamkan kanak-kanak tersebut mengalami simptom demam tidak berpeluh, kekejangan otot serta muntah-muntah pada Ahad lepas.
Adik lelaki kepada mangsa itu yang berusia 9 tahun turut mengalami demam namun sudah makan ubat seperti biasa.
“Saya meminta mereka tidur di ruang tamu kerana bilik itu sejuk. Selepas itu, saya dengar macam bunyi benda jatuh dan kemudian saya dapati anak kekejangan.
Selepas menelefon talian 999, panggilan disambungkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom dan petugas meminta saya menunggu ambulans sampai.
Dalam tempoh itu, anak saya tetap meronta-ronta sampai terberak, terkencing. Adiknya pun jadi macam itu tetapi sekejap sahaja,” kata bapanya.
Doktor memberitahu anaknya itu mengalami simptom strok haba sehingga buah pinggang terjejas dan ada radang otak, pun begitu anak ketiganya, Aidil Syahren kini stabil dan masih berada di wad.
Al-Fatihah
Baca: Air Dalam Badan Kering & Organ ‘Hangus’, 2 Budak Di Kelantan Maut Akibat Strok Haba