Suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Mujur, Jelawat, Kelantan malam semalam apabila jenazah Muhammad Ammar Muhammad Badrul, 7, selamat dikebumikan.
Kanak-kanak itu meninggal dunia pada jam 3.02 petang tadi ketika dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian selepas bertarung nyawa sejak Khamis lalu akibat kecederaan serius di kepala dipercayai dipukul dengan tukul.
Artikel berkaitan: Seminggu Bertarung Nyawa Di ICU, Kanak-kanak Mangsa Tukul Meninggal Dunia
Artikel berkaitan: Bapa Mangsa Dedah Anak Dititipkan di Rumah Suspek Sebelum Insiden Dip*kul Tukul Besi
Jenazah tiba di rumah bapanya, Muhammad Badrul Rameli, 31, di Kampung Mujur, Jelawat, Bachok pada jam 10.30 malam sebelum dimandikan, disolatkan dan dibawa ke tanah perkuburan. Proses pengebumian selesai pada jam 10.50 malam dengan diiringi lebih 100 ahli keluarga serta penduduk setempat.
Sementara itu, sepupu mangsa, Amirul Nizam Saiful Bahari, 25, berkata hasrat Muhammad Ammar untuk tinggal bersama ibunya di Terengganu mulai tahun depan tidak sempat ditunaikan.
Menurutnya, sebelum ini Muhammad Ammar menetap bersama bapanya dan hasil perbincangan keluarga, diputuskan supaya dia menghabiskan persekolahan di Bachok terlebih dahulu.
“Ammar seorang budak yang ‘soft spoken’ (percakapan lembut), tidak agresif. Kali akhir saya jumpa dia pada majlis pertunangan salah seorang ahli keluarga dua minggu lalu.
Kejadian yang berlaku memang mengejutkan semua ahli keluarga, namun kami reda,” katanya.
Dalam kejadian Khamis lalu, Muhammad Ammar mengalami kecederaan parah selepas dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya berusia 46 tahun di sebuah rumah kedai di Pasar Jelawat.
Suspek melarikan diri sebelum ditemui meninggal dunia di Pantai Melawi, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.
Mangsa menerima lebih 50 jahitan selepas mengalami kecederaan teruk di kepala termasuk luka serta bengkak pada otak.
Sumber: Harian Metro