Agak kecoh di Hollywood baru-baru ini apabila penyanyi terkenal, Justin Timberlake enggan mengambil ujian pernafasan apabila pihak polis menghentikan keretanya di Sag Harbor, New York pada awal pagi Selasa lalu.
Dikatakan, lelaki ini baru pulang dari American Hotel bersama sekumpulan rakannya sebelum dia ditahan oleh polis yang bertugas berhampiran tempat tersebut. Walaupun rakan-rakannya telah merayu supaya Justin dibebaskan, pegawai polis yang menahannya itu enggan dan lebih memalukan, dia tak kenal pun siapa penyanyi ni dan tak pernah dengar namanya.
Menerusi dokumen penahanannya, mata penyanyi ini berwarna merah dan berkaca dan nafasnya mempunyai bau alkohol yang kuat. Selain itu, dia juga tak boleh memberikan perhatian yang penuh, tak boleh berdiri dengan stabil serta gagal membuat ujian-ujian yang diminta semasa ditahan.
Justin Timberlake kemudiannya telah ditahan dan didakwa di atas satu tuduhan mabuk ketika memandu dan dua kesalahan trafik iaitu tidak berhenti di tanda berhenti dan gagal untuk memandu di dalam lorong yang betul.
Memandu dalam keadaan mabuk ni sebenarnya sering berlaku di kalangan selebriti Hollywood ni tau. Kalau korang nak tahu siapa lagi pernah kena, baca dekat bawah ni.
Artikel berkaitan: 7 Selebriti Yang Terang-Terangan Cerita Hubungan ‘Complicated’ Dengan Ibu Bapa Sendiri
Artikel berkaitan: 5 Selebriti Yang Kahwin Berlainan Agama, Anita Sarawak Pun Pernah?
1. Khloé Kardashian
Pada Mac 2007 yang lalu, Khloé Kardashian telah ditahan kerana mabuk ketika memandu. Dia telah didakwa dan menghabiskan masa selama tiga jam di lokap sebelum dibebaskan ekoran terlalu sesak.
Gambar mugshot yang diambil ketika penahanannya itu telah dijadikan bahan lawak untuk keluarga Kardashian sehingga ia dibingkaikan dan dipamerkan di rumah Kim Kardashian dan Kris Jenner.
2. Justin Bieber
Justin pernah ditahan di Miami Beach dan didakwa atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, melawan ketika ditahan serta memandu tanpa lesen pada tahun 2014. Pihak polis berkata, mereka telah melihat penyanyi ini memandu sebuah kereta Lamborghini berwarna kuning dan berlumba sebelum ditahan.
Menurut Polis Miami Beach, Justin telah bertengkar dengan pegawai polis ketika penahanannya dan gagal dalam ujian mabuk yang dijalankan ke atasnya.
3. Keanu Reeves
Pelakon Matrix ini telah ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk di Los Angeles pada 1993. Menurut pihak polis, Keanu telah memandu secara cuai sebelum diminta untuk berhenti. Keanu kemudiannya mengaku telah memandu ketika mabuk bagi mengelakkan dirinya dari didakwa.
4. Lindsay Lohan
Pelakon yang memulakan kerjayanya sejak dari kanak-kanak ini telah melakukan banyak masalah apabila menginjak dewasa. Pada Mei 2007, Linday Lohan telah ditahan di Beverly Hills dalam satu kemalangan kereta dan didakwa atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, memiliki dadah jenis kokain, serta langgar lari.
Lindsay sekali lagi ditahan di Santa Monica, California pada Julai 2007 kerana memandu ketika mabuk, memiliki kokain, membawa narkotik ke dalam pusat penahanan dan memandu dengan lesen yang telah digantung.
5. Vince Vaughn
Pelakon ini telah ditahan di checkpoint pemeriksaan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah berhampiran Los Angerles pada Jun 2018 sebelum ditangkap. Menurut pihak polis, Vince telah ditahan atas kesalahan mengganggu pihak berkuasa dan orang awam dalam keadaan mabuk.
Gambar mugshot Vince Vaughn telah tersebar di media sosial menunjukkan yang dia tersenyum dan kelihatan keliru.
6. Flo Rida
Rapper dari South Florida ini telah ditahan polis selepas mereka melihat kereta Flo Rida berpusing tanpa arah di awal pagi dekat Miami Beach pada June 2011. Dia telah didakwa kerana memandu dalam pengaruh alkohol serta memandu ketika lesen telah digantung.
Menurut laporan polis, ketika diminta menjalani ujian mabuk, Flo Rida mengatakan yang dia tak boleh buat ujian tersebut kerana dia tak boleh nak berjalan lurus. Selain itu, rapper ini juga turut mengaku telah minum alkohol.
7. Paris Hilton
Paris telah ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk ketika keluar dari drive-thru restoran makanan segera. Pihak polis mengatakan bahawa Paris Hilton telah memandu tanpa arah di Hollywood dan penyanyi ini mendakwa yang dia telah minum margarita dan berasa lapar.
Dorang ni banyak duit pun tak boleh nak suruh driver yang memandu bila dah mabuk. Tak faham betul.