Siasatan berhubung tragedi Elmina yang menyayat hati berlaku pada 17 Ogos tahun lalu telah menemui beberapa punca utama kejadian.
Pengaktifan lift dump spoiler
Menurut laporan Buletin TV3, punca utama pesawat N28JV, model Hawker Beechcraft 390 Premier 1 yang terhempas itu membabitkan peluasan tidak sengaja lift dump spoiler oleh juruterbang semasa melakukan pemeriksaan sebelum mendarat.
Artikel berkaitan: Laporan Awal Nahas Elmina Dedah Punca, Bukan Faktor Juruterbang
Artikel berkaitan: Cantik Ibarat Pelangi, Penggali Kubur Kongsi Rupa Liang Lahad Juruterbang Nahas Elmina
Difahamkan, latihan kru juga tidak mencukupi dan kurang pendedahan tentang operasi sistem lift dump menjadi antara penyebab kepada nahas tersebut.
Pembantu Juruterbang tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang risiko yang berkaitan dengan sistem ini, yang menyebabkan kesilapan operasi berlaku.
Tindakan ini menyebabkan kehilangan daya angkat secara mendadak, sekali gus mengakibatkan kehilangan kawalan pesawat dan kemalangan tragis itu.
Kedudukan kru tidak mengikut protokol
Dalam pada itu, siasatan mendapati susunan tempat duduk kru tidak mengikut protokol yang mana juruterbang utama ditempatkan di kerusi kanan dan pembantunya berada di kerusi kiri. Perkara ini jelas telah melanggar panduan Manual Penerbangan Pesawat.
Penyimpangan ini dipercayai menyumbang kepada komunikasi yang tidak berkesan serta pengurusan sumber kru yang lemah.
Selain itu, juruterbang juga gagal mengendali pesawat bagi mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk perkhidmatan udara tidak berjadual serta ketidakpatuhan terhadap peraturan Malaysia.
Kesilapan operasi lift dump dan kedudukan tempat juruterbang boleh menyebabkan kekurangan komunikasi dalam menentukan keputusan.
Secara keseluruhan, punca utama nahas adalah peluasan tidak sengaja lift dump spoiler ketika membuat pemeriksaan sebelum pendaratan.
Faktor penyumbang pula adalah kegagalan mematuhi prosedur operasi, kekurangan latihan oleh kru penerbangan, tidak mematuhi peraturan termasuklah kelemahan dalam operasi dan pengambilan keputusan. Bagaimanapun, kes ini diklasifikasikan sebagai Kehilangan Kawalan – Dalam Penerbangan (LOC-I).
Untuk rekod, nahas Elmina ini telah mengorbankan 10 nyawa iaitu enam penumpang serta dua anak kapal, seorang pemandu e-hailing dan seorang penunggang motosikal p-hailing.
Sumber: Buletin TV3