in

Jangan Cium Anak Orang! Ini Sebab Kenapa Kita Tak Digalakkan Cium Anak Orang Sembarangan

Featured LM 57

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Mungkin sesetengah orang rasa tindakan ni nampak macam ‘manja’ tapi ia sebenarnya boleh bagi kesan yang tak elok dari segi kesihatan, batas peribadi atau persepsi ibu bapa. Lagi-lagi bila melibatkan sentuhan pada bahagian sensitif seperti berciuman di mulut sebab boleh buat orang rasa tak selesa serta mudah undang salah faham.

Baru-baru ini pun tular satu isu di mana seorang pembantu rumah telah berani mencium mulut anak lelaki kepada seorang penyanyi terkenal. Perkara seperti ini menjadikan kebanyakan ibu bapa tidak boleh terima langsung, terutamanya ibu anak lelaki itu sendiri.


Selain dianggap isu ini sebagai perbuatan yang tak sopan, ia juga menunjukkan betapa pentingnya kita menghormati ruang peribadi kanak-kanak dan batasan yang perlu diketahui oleh seorang penjaga.

Jadi kenapa sebenarnya kita tak digalakkan untuk cium anak orang sembarangan? Kalau korang nak fahami sebabnya, boleh teruskan baca artikel di bawah ini.

Melanggar batas peribadi 

Featured LM 52

Kanak-kanak perlu didedahkan tentang bahagian tubuh yang dianggap peribadi supaya mereka faham batas yang perlu dijaga. Ada kawasan tertentu yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun, termasuklah ibu bapa atau ahli keluarga itu sendiri.

Hal ini kerana, tubuh badan setiap individu adalah hak mereka sendiri. Jadi bila orang dewasa sendiri membiasakan sentuhan yang tidak sepatutnya seperti mencium mulut, tidakkah ia boleh membuatkan mereka keliru, tidak selesa dan takut?

Menurut portal keibubapaan Malaysia, bahagian peribadi adalah seperti bibir, dada, zakar, faraj, punggung dan peha ini adalah hak eksklusif untuk mereka sahaja. Konsep ini jelas bahawa mencium mulut kanak-kanak bukanlah perbuatan yang wajar dipraktikkan atau dibiasakan sejak kecil.

Bila batas peribadi atau personal boundaries ini dijaga, secara tak langsung kita juga mengajar anak kecil ini tentang harga diri, keselamatan tubuh dan hak mereka terhadap sentuhan.

Boleh menimbulkan masalah kesihatan

Featured LM 56

Bercium dengan anak orang sebenarnya boleh memberi risiko besar kepada kesihatan mereka terutamanya sekiranya anak itu masih bayi lagi sebab tubuh mereka belum cukup kuat untuk melawan kuman.

Sistem imun kanak-kanak ni sebenarnya jauh lebih lemah kalau nak dibandingkan dengan orang dewasa. Sebab itulah mereka mudah dijangkiti virus atau bakeria dan kesannya juga cenderung untuk jadi lebih serius.

Orang dewasa mungkin akan rasa selesema yang ringan saja, tapi perkara yang sama boleh berubah menjadi jangkitan yang serius bagi kanak-kanak ekoran mereka belum cukup kuat untuk melawan kuman.

Jadi, antara penyakit yang mudah berpindah melalui ciuman ialah penyakit herpes simplex (HSV-1), influenza, RSV dan jangkitan penyakit lain. Virus-virus ini boleh disebarkan hanya dengan air liur atau sentuhan tangan yang tercemar.

Dan penyakit HSV-1 ini ialah antara risiko yang paling membimbangkan bagi kanak-kanak sebab bagi orang dewasa, kita cuma akan rasa luka kecil pada bibir saja. Tapi bagi kanak-kanak, jangkitan ini boleh merebak dengan cepat ke organ dalaman seperti hati, otak dan paru-paru.

Penyakit ini terlalu serius sehinggakan ada kes di mana bayi mengalami kerosakan saraf, sawan dan kegagalan organ hanya kerana terdedah pada virus ini. Lebih membimbangkan juga, pembawa virus selalunya tidak menunjukkan simptom yang jelas jadi siapa-siapa sahaja boleh sebarkan virus ini tanpa sedar.

Ibu bapa hilang kepercayaan terhadap orang lain

Featured LM 54

Memang tidak dinafikan yang kebanyakan orang suka dengan kecomelan kanak-kanak, terutamanya bayi yang baru lahir jadi sentiasa ada keinginan nak terus menyentuh atau mencium mereka.

Namun sifat protective ibu bapa yang semula jadi ni memang akan sentiasa memikirkan tentang keselamatan anaknya dan bagaimana setiap interaksi itu boleh memberi kesan kepada anak mereka.

Bila orang luar sembarangan menyentuh atau mencium anaknya tanpa izin, ibu bapa bukan saja kurang selesa, tetapi juga mula membentuk persepsi negatif terhadap individu tersebut. Contohnya, insiden pembantu rumah yang mencium mulut anak lelaki kepada seorang penyanyi terkenal telah menunjukkan yang tindakan ini tidak wajar serta boleh menimbulkan rasa kurang percaya terhadap orang luar.

Situasi ini juga jelas menyebabkan ibu bapa menjadi lebih bimbang atau was-was untuk membiarkan anaknya berinteraksi bersama orang lain atau diletakkan di bawah jagaan orang lain ekoran tidak mahu keselamatan atau batas peribadi anak mereka diganggu.

Menurut Sinar Harian, kanak-kanak mempunyai hak terhadap privasi dan autonomi tubuh mereka dan setiap sentuhan tanpa izin boleh menjejaskan persepsi mereka tentang batas peribadi. Lebih membimbangkan adalah sekiranya kanak-kanak mula mempraktikkan ajaran yang tidak sepatutnya hanya kerana keliru dengan ajaran yang konon dianggap cara untuk menunjukkan sifat kasih sayangnya terhadap orang lain.

Boleh menimbulkan salah faham atau fitnah 

Featured LM 53

Perbuatan mencium anak terutamanya pada bibir anak itu sebenarnya tidaklah salah dalam konteks keluarga sekiranya untuk menunjukkan sifat kasih sayang kepada anak. Menurut satu temubual seorang Ustazah bersama portal Hai Bunda, beliau menjelaskan perkara itu dibolehkan sekiranya ianya tidak menimbulkan fitnah.

Boleh (mencium bibir anak) jika niatnya murni kasih sayang tanpa unsur syahwat, terutama pada anak kecil. Namun, makruh atau bahkan dilarang jika ada potensi menimbulkan fitnah, tidak sesuai adab setempat, atau dilakukan dengan cara yang berlebihan,” katanya ketika ditemubual bersama Hai Bunda.

Namun sekiranya anak sudah meningkat ke usia 5 hingga 6 tahun, perbuatan itu tidak lagi sesuai kerana ia dibimbangi boleh membangkitkan nafsu syahwat terutamanya apabila orang luar yang cuba untuk mencium anak orang lain.

Walaupun niatnya baik serta ingin menunjukkan sifat kasih sayangnya juga, namun secara kebiasaannya, ciuman di bibir adalah perkara yang intim dan hanya dilakukan oleh pasangan yang sudah halal berkahwin. Jadi bila orang luar yang cuba untuk mencium anak orang lain, perkara ini jelas boleh menimbulkan persepsi yang negatif.

Tambahan pula, jika perbuatan ini diteruskan sehingga anak membesar nanti, ia juga dibimbangi boleh menimbulkan persepsi yang lebih serius seperti melampaui batas yang tidak sepatutnya.

Sejujurnya, memang tidak dinafikanlah berinteraksi dan bermanja bersama kanak-kanak kecil sangatlah seronok. Walaupun niat baik macam mana sekalipun, tetaplah penting untuk ingat bahawa anak orang lain tetap ada batas peribadi yang kita perlu hormat.

Antara perbuatan kasih sayang yang sesuai dan selamat adalah seperti usapan lembut di kepala atau sekadar pujian saja pun sudah memadai untuk membuatkan kanak-kanak rasa selamat dengan kita.

Hal ini kerana, perbuatan bermesraan yang berlebihan pun boleh menimbulkan salah faham dan rasa tidak selesa. Jadi seeloknya adalah lebih baik kita hormati ruang peribadi mereka dan tunjukkan kasih sayang yang selamat dan sesuai.

Sumber: The Rakyat Post, Pa & Ma

Sumber: brizmaker
Sumber: SolStock

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.