Produk sandwic ham & cheese daripada premis jualan runcit 24 jam di Universiti Malaya masih lagi menjadi isu.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ini mengesahkan bahawa produk sandwic terbabit sememangnya tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Namun, syarikat pengeluar produk makanan tersebut, Shake & Bake Café Sdn Bhd mengesahkan bahawa bahan mentah yang digunakan dalam pembuatan sandwic terbabit mempunyai sijil halal sah daripada JAKIM.
Artikel berkaitan: Isu Sandwic ‘Ham & Cheese’ Dijual Di IPTA, JAKIM Sahkan Tiada Sijil Halal
JAKIM sekali lagi sahkan produk tiada sijil halal
Susulan kenyataan syarikat pengeluar terbabit, JAKIM bagaimanapun menafikan dakwaan produk makanan yang tular itu mempunyai sijil halal.
Ketua Pengarah Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata pihaknya menegaskan sekali lagi bahawa pemeriksaan dijalankan bersama KPDN pada 10 Januari lalu mendapati, produk berkenaan bukan sahaja tidak mempunyai SPHM, malah syarikat yang menghasilkan produk itu juga bukan pemegang SPHM.
“Hasilnya, tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 diambil oleh pihak KPDN.
“Dalam konteks pensijilan halal Malaysia, mana-mana produk atau perkhidmatan tidak boleh diperihal halal dan ditanda dengan halal selagi mana tiada pengesahan mahupun perakuan daripada Pihak Berautoriti Pensijilan Halal Malaysia.”
Mengulas lanjut, penggunaan sijil halal pembekal tidak melayakkan sesuatu produk diperakui halal.
“Hal ini kerana sesuatu produk hanya boleh diperakui halal oleh pihak berautoriti setelah memenuhi standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia yang merangkumi aspek pengendalian, penyediaan, dan pemprosesan secara keseluruhan.”
Susulan itu, JAKIM menggesa para pengusaha di luar sana supaya lebih cakna terhadap undang-undang terutama dalam isu halal bagi mengelakkan perkara sebegitu tidak lagi berulang pada masa hadapan.
Sumber: Sinar Harian