Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan seorang lelaki berusia 65 tahun yang disyaki mengaku dirinya sebagai Rasul dalam satu serbuan di sebuah premis di Rawang, 21 Februari lalu.
Dalam operasi sama, tiga lagi individu turut ditahan iaitu dua lelaki dan seorang wanita yang dipercayai berada di premis berkenaan ketika serbuan dijalankan.
Berdasarkan siasatan awal, lelaki terbabit didakwa memaklumkan kepada pengikutnya bahawa beliau pernah bertemu Nabi Adam AS secara nyata pada waktu siang serta bertemu Nabi Muhammad SAW dalam bentuk cahaya pada waktu malam.
Selain itu, dia juga mendakwa bertemu para Rasul sebanyak dua hingga tiga kali seminggu, dengan kejadian tersebut dikatakan berlaku antara dua hingga tiga tahun lalu di sebuah taman negara di Malaysia.

Artikel berkaitan: Penyanyi Kena Tangkap Khalwat Dengan Suami Orang, JAIS Sahkan Bukan Nadeera
Artikel berkaitan: Kubur Semakin Penuh, JAIS Teliti Cadangan Kubur Bertingkat
Menurut JAIS dalam kenyataan, pengikut individu berkenaan turut mempercayai bahawa lelaki tersebut adalah utusan Allah.
Malah, segala perlakuannya dianggap sebagai suruhan Allah termasuk dakwaan bahawa pengikut tidak perlu menunaikan solat atau berpuasa sekiranya berasa letih atau uzur.
Kes disiasat di bawah Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki melakukan perbuatan berkaitan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak.
Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 8 enakmen sama kerana mengisytiharkan diri sebagai Rasul dan mendakwa mengetahui perkara di luar pemahaman manusia.
JAIS memaklumkan tangkapan tersebut dipercayai menyelesaikan satu aduan yang tular pada 9 Februari lalu berhubung seorang individu yang mengaku sebagai Rasul dan didakwa mempengaruhi ahli keluarganya.
Susulan aduan itu, satu pasukan khas dari Ibu Pejabat JAIS telah digerakkan untuk menjalankan siasatan terperinci sehingga membawa kepada penahanan empat individu terbabit.
Pengarah JAIS, Datuk Haji Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataannya menegaskan pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap sebarang ajaran atau perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak di negeri ini.
Sumber: FB JAIS
