Hantaran Facebook seorang lelaki Perancis mencetus perhatian ramai apabila mendakwa dua ahli akademik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkongsi fakta salah mengenai sejarah maritim Melayu dalam satu jurnal akademik.
Menerusi hantaran itu, Serge Jardin mempersoalkan kredibiliti jurnal akademik terbabit. Dua ahli akademik yang didakwa itu ialah Dr Rozita Che Rodi dan Dr Hashim Musa iaitu penulis kertas bertajuk ‘The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization’.
Difahamkan, jurnal itu diterbitkan dalam International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, Jilid 13, Isu 11, 2023.
Dakwa foto itu bukan Jong Melayu tapi kapal kargo China
Menurut Jardin, imej yang digunakan dalam jurnal mereka untuk menunjukkan model Jong Melayu sebenarnya adalah Kapal Kargo Foochow Pole (sejenis kapal kargo) dari China.
Jong Melayu ialah sejenis kapal layar yang berasal dari Jawa, Indonesia yang digunakan secara meluas oleh pelaut Jawa, Sunda, dan kemudian oleh pelaut Pegu dan Melayu.
“Ini memalukan nama ahli akademik! Malu, malu, malu, malu!” tulisnya dalam hantaran itu.
Dalam pada itu, Jardin turut menyenaraikan dua fakta lain dalam jurnal yang didakwa adalah tidak tepat.
“Mengenai Jong, foto itu tidak menunjukkan Jong Melayu tetapi Kapal Kargo Foochow Pole dari China. Model itu tidak berada di Muzium Maritim Jakarta tetapi di Royal Museums of Greenwich, England (ID: AAE0200). Dalam muzium, semua pameran mempunyai nombor pengenalan (Foto 2), katanya.
Malah, beliau turut mempersoal sama ada tempat jurnal tersebut diterbitkan boleh dipercayai atau tidak dan adakah ia melalui proses semakan bersama ahli akademik yang lain.
Meninjau ke ruangan komen, hantaran itu menjadi perbincangan hangat dalam kalangan beberapa ahli akademik.
Salah seorang penulis jurnal itu, Dr Rozita Che Rodi tampil memberi penjelasan tentang dakwaan berkenaan.
Menurutnya, Jong yang dipaparkan dalam jurnal tersebut adalah dari Muzium Maritim Jakarta dengan mendakwa pihaknya telah membuat kunjungan ke muzium itu dan melihat sendiri model yang dipamerkan. Beliau bagaimanapun tidak menyangkal kewujudan model sama di muzium yang lain.
Pun begitu, setakat artikel ini ditulis, pihak UPM masih belum memberikan maklum balas dan penjelasan mereka tentang perkara ini.
Sumber: Berita Harian, Facebook