Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengesahkan bahawa penuntut sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terlibat dalam kes memijak al-Quran tidak mempunyai sebarang rekod pendaftaran pengislaman di negeri tersebut.
Ketua Pendaftar Mualaf Pahang, Dr Asmadi Abdul Rahman, menjelaskan bahawa semakan pangkalan data mendapati nama individu berkenaan, K Vikneswaran, tidak tersenarai sebagai mualaf di bawah seliaan pihak MUIP. Selain Pahang, pemeriksaan dengan pihak berkuasa agama di Selangor, Negeri Sembilan, dan Kuala Lumpur turut mengesahkan ketiadaan rekod pendaftaran bagi pemuda berusia 21 tahun itu.
Artikel berkaitan: Pelajar IPT Mengaku Tak Bersalah P*jak Al-Quran, Lakukan Hantaran Komunikasi Jelik
Artikel berkaitan: “I want to receive a hidayah” – Firdaus Wong Dedah Perbualan Dengan Individu P*jak Quran, Mula Mesej Sejak 2024

Pihak MUIP kini sedang menunggu maklum balas rasmi daripada negeri-negeri lain bagi mendapatkan pengesahan lanjut mengenai status pendaftarannya. Dalam masa yang sama, Dr Asmadi memaklumkan pihaknya telah cuba menghubungi pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, untuk mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan bahawa lelaki itu pernah memeluk Islam, namun masih belum menerima sebarang jawapan.
Isu ini mula mencetuskan perdebatan selepas Firdaus Wong mendakwa individu tersebut telah melafazkan syahadah di hadapannya pada April tahun lalu selepas menunjukkan minat yang mendalam untuk memeluk Islam melalui komunikasi di media sosial.
Terdahulu, tertuduh yang juga penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu telah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan mencemar al-Quran dan membuat hantaran jelik menghina Islam.
Dia sebelum ini ditahan pihak berkuasa pada 25 Februari lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Sumber: Sinar Harian
