Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan taraf kewarganegaraan melalui penaturalisasian kepada tujuh pemain Harimau Malaya dibuat mengikut semua prosedur ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, proses pemberian warganegara terhadap tujuh pemain itu mematuhi semua peruntukan dibawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964.
Malah, Seksyen 10(a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 turut digunakan bagi memproses permohonan sijil kelahiran kepada tujuh pemain terbabit.
“Tujuh pemain ini mematuhi tiga rukun ditetapkan dalam Perkara 19 Perlembagaan membabitkan tempoh bermastautin, berkelakuan baik dan mempunyai pengetahuan mencukupi dalam bahasa Melayu.
“Saya juga menggunakan Seksyen 20(1)(e) Jadual Kedua Bahagian 3 Perlembagaan yang memberi kuasa budi bicara kepada menteri untuk menganggap pemohon memenuhi tempoh bermastautin walaupun baru sehari berada di negara ini,” katanya.
Artikel berkaitan: “Kenyataan FIFA tu bukan hal kecil” – Hannah Yeoh Respon Isu Pemain Warisan FAM
Artikel berkaitan: “Macam Mana Semua Ni Boleh Jadi?” – Kronologi Penuh Isu FIFA Denda FAM Atas Kes Pemalsuan Dokumen Pemain
Kewarganegaraan 7 pemain & pertikaian dibangkit FIFA, 2 isu berbeza
Mengulas lanjut, beliau menegaskan isu taraf kewarganegaraan tujuh pemain terbabit dan pertikaian dibangkitkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) adalah dua perkara berbeza.
Jelasnya, isu yang timbul membabitkan penggantungan pemain warisan terbabit adalah berkaitan statut FIFA yang kini sedang diuruskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Statut FIFA ini hanya terpakai sebagai elemen pematuhan kepada persatuan bola sepak untuk mendaftar pemain masing-masing. Ia perlu dipenuhi.
“Statut ini ada empat kriteria, iaitu pemain terbabit lahir di wilayah persatuan berkenaan; ibu atau bapa dilahirkan di wilayah persatuan berkenaan; nenek atau datuk dilahirkan di wilayah persatuan berkenaan atau sudah menetap sekurang-kurangnya lima tahun di wilayah persatuan berkenaan selepas berusia 18 tahun.
“Kriteria statut FIFA ini bukanlah sandaran digunakan sebagai kriteria yang ditetapkan untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian seperti ditetapkan dalam Perkara 19 Perlembagaan,” katanya.
Terdahulu, heboh diperkatakan apabila FIFA mendakwa beberapa dokumen sokongan yang diserahkan FAM, termasuk sijil kelahiran datuk dan nenek pemain, memaparkan maklumat yang tidak sepadan dengan rekod asal di negara kelahiran sebenar.
Sumber: Berita Harian