Walaupun belum disiarkan lagi muzik video (MV) penuh lagu raya, namun usahawan terkenal, Datuk Aliff Syukri telah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.
Terbaharu, Konsortium Industri Rakaman Malaysia atau Irama telah membuat laporan polis mengenai isu MV lagu raya yang berjudul Cak Kun Cak Raya itu, lapor Harian Metro.
Presidennya, Ayob Abdul Majid berkata, pihaknya mahu berjumpa dengan Menteri Komunikasi Digital (KKD), Fahmi Fadzil dalam masa terdekat untuk membincangkan isu MV lagu raya terbabit.
Mereka menggesa isu ini dibawa ke parlimen agar akta Seksyen 294 (a) dan 294 (b) digubal semula.

“Kita juga berharap KKD dapat membincangkan isu ini di parlimen seterusnya denda tinggi dikenakan termasuk hukuman penjara bukan sahaja kepada Aliff tetapi juga kepada pencipta kandungan lain yang melakukan perkara sama,” katanya.
Tegasnya, perkara ini berulang kerana hukuman dan denda yang dikenakan terhadap pelaku agak ringan.
“Kebanyakan hari ini mereka tidak takut dengan denda yang ada. Jika tidak dibendung, lebih banyak video yang bukan-bukan akan dihasilkan.”
Katanya, penampilan Aliff dan penari-penari latar dalam MV tersebut keterlaluan walaupun lagu yang dihasilkan bagus.
Pada awalnya, Irama enggan membuat laporan polis kerana tidak mahu memberikan publisiti kepada usahawan terbabit namun didesak orang ramai kerana tidak mahu ia berleluasa.
Justeru, mereka meminta KKD bertindak tegas dengan menyekat lagu dan video terbabit daripada disiarkan.
Dalam pada itu, pihak mereka turut kesal dengan kenyataan Aliff mempertahankan konsep muzik video raya berkenaan sebagai sekadar seni dan hiburan.
Baca: “Suara dia memang tak sedap” – Ibu Aliff Syukri Minta Maaf Susulan MV Lagu Raya Anaknya

