Kecoh di media sosial sejak beberapa hari lalu mengenai sebuah restoran nasi ayam claypot yang terkenal di Petaling Jaya didakwa menggunakan bahan tidak halal iaitu rice wine dalam masakannya.
Susulan isu itu, JAKIM telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis tersebut.
Artikel berkaitan: Tular Guna ‘Rice Wine’ Dalam Masakan, Penutupan Restoran Undang Persoalan Netizen
Artikel berkaitan: JAKIM Dedah Restoran Popular Jual Nasi Claypot Viral Bukan Pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia
Bagaimanapun, peniaga nasi ayam claypot itu tampil menafikan dakwaan menggunakan bahan terlarang dalam masakannya.
Mengaku premis tiada sijil halal
“Sumpah demi Allah SWT saya tidak menggunakan bahan terlarang seperti ditularkan netizen. Ini maruah saya dan sebagai umat Islam saya bertanggungjawab serta ikhlas berniaga untuk rezeki halal keluarga,” kata Ahmad Muzakin Mohd Amir.
@manamanakl ? Restoran Ahmad Muzakin, Sri Petaling KL Nasi Ayam Claypot diusahakan pasangan Indonesia-Muslim ni. P/S : Video diambil sebelum status halal dipertikaikan. #chamais #mychamais #foodie #myfoodie #nasiayamclaypot #nasiayam #halal #makananmalaysia
Katanya, dia terkilan apabila ada segelintir pihak membuat pendedahan tanpa usul periksa dan tidak berjumpa dengannya terlebih dahulu apabila terus mendakwa salah satu botol digunanya berisi bahan terlarang.
Ahmad Muzakin turut mengakui premis perniagaannnya tidak memiliki sijil Halal selain mendedahkan pihak JAKIM pernah datang membuat pemeriksaan status halal sebelum ini.
Menjawab persoalan netizen mengenai dua botol yang digunakan ketika memasak, dia menyatakan kedua-dua botol itu adalah minyak bijan yang biasa digunakan dalam masakan Cina.
Malah, Ahmad yakin minyak bijan yang digunakan olehnya tidak mengandungi bahan terlarang meskipun pengeluar kilang tidak mempunyai sijil halal.
“Saya mengaku premis saya memang tiada sijil halal daripada Jakim tetapi banyak kedai Muslim lain juga tiada sijil sama. Saya adalah Muslim dan saya tahu tanggungjawab, malah tidak akan menyorokkan bahan digunakan.
“Dua botol itu adalah minyak bijan dan apabila guna dua botol secara terus, saya akan dapat titisan minyak berganda tanpa banyak kali menuangnya cuma saya akui kilang (pengeluar minyak bijan) itu tiada sijil halal tetapi bahannya diyakini tiada yang terlarang.
“Kalau kata saya memasukkan bahan terlarang dalam botol minyak bijan itu tidak masuk akal kerana kami tidak pernah membuka penutup itu hanya tebuk lubang dan plastik penutup juga masih rapi, jadi macam mana saya masukkan bahan itu.
“Bekalan ayam yang kami gunakan juga daripada sumber yang halal,” katanya.
Biarpun dikecam, Ahmad Muzakin tetap memaafkan individu yang membuat tuduhan itu dan menganggap ia adalah ujian dalam mencari rezeki.
Ahmad Muzakin memaklumkan dia mempunyai lesen perniagaan secara sah dan akan mengikuti kursus permohonan sijil halal kepada JAKIM pada Khamis ini.
Sumber: Harian Metro