in

“Ini cerita tentang istilah penunggang agama” – Pengarah Nafi Filem La Luna Hina Islam

Pengarah La Luna

Kecoh baru-baru ini mengenai filem La Luna yang kini ditayangkan di platform Netflix, dikatakan tidak sesuai dengan audiens tempatan.

Isu itu dibangkitkan oleh seorang penulis skrip, Zabidi Mohamed yang yang berpendapat subtext filem ini mempunyai elemen penghinaan Islam.

Hantaran itu nyata mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen, ada yang bersetuju dan ada yang tidak sependapat dengan pandangan berkenaan.

Artikel berkaitan: “Subtext filem ada elemen hina agama” – Filem La Luna Jadi Sebutan, Terima Reaksi Pelbagai Dari Netizen

Terbaharu, pengarahnya M Raihan Halim menyangkal dakwaan Zabidi yang mengatakan naskhah tersebut mempunyai unsur pemikiran liberal serta menghina agama Islam.

Memetik sumber Utusan, pengarah dari Singapura itu menyatakan naskhah berkenaan dihasilkan dengan niat baik iaitu membincangkan isu penunggang agama.

“Saya ingin menegaskan La Luna tidak mempunyai elemen liberal mahupun anti agama Islam seperti didakwa.

“Filem ini menceritakan bagaimana seorang individu menggunakan agama untuk kepentingan peribadi. Ini cerita tentang istilah penunggang agama,” katanya.

Dakwanya, pihaknya tidak pernah menerima sebarang respon negatif mengenai agama Islam meskipun filem berkenaan sudah ditayangkan di beberapa negara antaranya Jepun, Belanda, Singapura, dan Indonesia.

“Setiap negara memberi respons yang pelbagai. Contohnya ketika La Luna ditayangkan di Jepun, masyarakat di sana memandangkan filem ini sebagai kritikan terhadap patriarki.

“Manakala di Belanda, orang di sana memandang La Luna sebagai filem yang mengangkat isu keganasan rumah tangga. Bagi masyarakat di negara luar termasuk eropah, La Luna bukanlah sebuah filem tentang agama Islam,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau meminta penonton untuk mendalami watak utama Salihin Arshad yang dibawakan oleh Shaheizy Sam.

“Bagaimana Salihin membuka hati dan perasaan memahami pandangan yang berbeza dari kedua-dua pihak, itulah yang sepatutnya kita lakukan iaitu cuba mendengar perspektif yang mungkin berbeza daripada fahaman kita,” tambahnya.

Katanya, dia berbesar hati menerima apa sahaja maklum balas dan menghargai pandangan serta ulasan yang dikongsikan pihak berkenaan.

Sumber: Utusan