Satu kisah menyentuh hati mengenai kasih sayang ibu bapa berjaya mencuri perhatian warganet selepas dikongsikan di laman Facebook Public Health Malaysia (PHM).
Menurut perkongsian pengguna Threads, awaghazali, beliau dibesarkan oleh ibu bapa yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan, namun berjaya membesarkan empat orang anak dengan penuh kasih sayang dan didikan sempurna.

Katanya, beliau sudah lali dengan soalan orang ramai mengenai bagaimana ibu bapanya membesarkan mereka adik-beradik.
“Masa pergi temu duga kerja, mesti ada yang tanya macam mana mak ayah awak besarkan awak, kesiannya mereka tak nampak muka anak-anak.
“Kisah betul, saya cuma senyum dan jawab, macam inilah mak ayah besarkan saya sampai saya ada ijazah dan boleh datang ke sini untuk temu duga kerja,” katanya.
Artikel berkaitan: 2 Anak Muda Malaysia Harumkan Nama Negara, Bawa Lagu ‘Wau Bulan’ Pada Sambutan Tahun Baharu Di China
Artikel berkaitan: Kanak-kanak 4 Tahun Buta Sebelah Mata Sebab Guna Petua Lama Rawat Luka

Walaupun tidak dapat melihat, ibu bapanya digambarkan sebagai insan yang “melihat dengan hati”.
Ibunya akan meraba wajah anak-anak, membelai rambut dan mengenali mereka melalui sentuhan, manakala bapanya pula memastikan pakaian dan kasut anak-anak kemas sebelum keluar rumah.
“Pada saya, mak abah saya normal seperti orang lain. Cuma mata mereka tak nampak,” tulisnya.
Lebih menyentuh perasaan, kedua-dua ibu bapanya tidak bergantung kepada ihsan semata-mata.
Ibunya bekerja sebagai operator telefon, manakala bapanya berkhidmat sebagai juruteknik di Bahagian Belanjawan selain aktif menghasilkan pelbagai karya penulisan termasuk novel, cerpen serta drama televisyen dan radio.
Malah, salah satu novel hasil tulisan bapanya pernah dijadikan bahan bacaan di sekolah.

Bagaimanapun, beliau berkongsi bahawa kedua-dua ibu bapanya kini telah meninggal dunia.
Bapanya meninggal dunia dalam tidur pada tahun 2009, manakala ibunya pula menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2025.
“Rindu sangat dengan mak abah sebenarnya. Sebab itu saya menulis tentang mereka,” katanya.
Sumber: Public Health Malaysia
