Siapa yang tak kenal dengan kumpulan pelawak Sepahtu yang dianggotai Jep, Shuib dan Rahim? Sebut sahaja nama mereka, pasti anda teringat dengan gelagat lucu dan mencuit hati yang buat anda tak kering gusi melihatnya.
Kalau dulu ramai yang tertunggu-tunggu untuk melihat lawak spontan mereka di Maharaja Lawak Mega, kini anda boleh dengarkan saja mereka di Sepahtu Sinar atau menonton rancangan Sepahtu Reunion Live yang sering mengundang tetamu istimewa setiap minggu.
Baru-baru ini Sepahtu Reunion Live telah muncul dengan tema baru bertajuk ‘Nyamuk Masuk Kampung’ dengan menjemput tiga tetamu undangan iaitu Nad Zainal, Salih Yacob dan Delimawati. Dalam galak berjenaka ketika episod tersebut berlangsung, tup-tup timbul pula isu yang mengatakan Sepahtu tidak menghormati salah seorang daripada tetamu jemputan di rancangan tersebut.
Menurut netizen di Twitter, Sepahtu dikatakan telah memperlekeh pelakon veteran, Delimawati oleh kerana paras rupa dan usianya. Alamak! Betul ke ni?
Menerusi rancangan tersebut, Delimawati dilihat telah diketawakan ahli Sepahtu sebaik sahaja pelakon tersebut naik ke atas pentas untuk melakonkan watak jururawat yang sepatutnya dipegang oleh pelakon yang lebih cantik.
Tindakan mereka merendah-rendahkan pelakon veteran serta memberi layanan yang berbeza kepada pelakon tersebut telah membuatkan netizen tidak senang hati dan menganggap Sepahtu sebagai keterlaluan dan tidak sopan dalam membuat lawak pada minggu tersebut. Alahai… macam mana ni?
Mungkin juga Sepahtu tiada niat untuk mempermainkan Delimawati, namun kalau hampir ke semua penonton merasakan hal yang sama, maka eloklah jikalau mereka lebih berhati-hati dalam berjenaka dan jangan melampaui batas yang tidak sepatutnya. Lawak-lawak juga kan, tapi hati orang tua kena jaga!
Hal ini juga bukan pertama kali berlaku. Pelakon senior lain seperti Norlia Ghani juga dikatakan pernah terkena perkara yang sama.
Walau bagaimanapun, diharapkan Sepahtu janganlah kecil hati dengan teguran yang diberikan netizen di media sosial. Semoga kumpulan pelawak ini tingkatkan lagi mutu jenaka mereka dan terus sukses dalam industri hiburan.
Hormatilah pelakon senior dan veteran yang jauh lebih berpengalaman. Berjenakalah dengan lebih professional ye!
Baca: Keluarga Tuduh Ipar Ajar Anak Kecil Cakap Biadap, Rupa-rupanya Anak Belajar Dari Maharaja Lawak