Sebuah kereta yang mempunyai top speed sebanyak 38mph difahamkan telah dilelong baru-baru ini dengan harga £111,000 iaitu kira-kira RM608,185. Tapi, kereta ni takde gear mengundur, jadi kalau korang nak reverse, kena keluar kereta and tarik ke belakang.
Lapor This is Money, kereta mikro Peel P50 hanya mempunyai satu ruang tempat duduk iaitu di bahagian memandu dan kenderaan itu tak dilengkapi dengan gear mengundur. Kenderaan ini juga boleh dibawa sejauh 160 kilometer bagi setiap gelen minyak.
Pada sesetengah orang, mungkin ciri-ciri kenderaan seperti Peel P50 akan membuatkan mereka terus tawar hati sebab nak kena tarik kereta ke belakang pulak setiap kali nak mengundur, kereta berwarna merah ini difahamkan telah mencetuskan ‘peperangan’ di lokasi lelongan kerana ramai pembeli mahukannya.
Menurut dokumen asalnya, kereta mikro Peel P50 berwarna merah yang mempunyai nombor plat 747 UNN ini merupakan satu daripada 46 kenderaan jenis itu yang pernah dihasilkan oleh Peel Engineering sekitar tahun 1962 hingga 1965.
Pada tahun 2010, kenderaan jenis ini telah diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai kenderaan paling kecil pernah dihasilkan.
Menurut jurucakap pusat lelongan dalam talian Car and Classics, rupa model Peel P50 yang kecil dan unik itu mungkin menyebabkan ia menjadi rebutan ramai untuk digunakan sebagai kenderaan di bandar.
“Mungkin juga disebabkan sejarahnya dan ciri-ciri unik serta betapa rare model ini, Peel P50 ini menjadi popular sebelum ia berjaya dilelong dengan harga £111,000,” katanya.
Nilai tersebut difahamkan merupakan harga kedua tertinggi pernah dibayar pembida untuk kenderaan berukuran kira-kira 1.3 meter dan mempunyai tiga roda itu. Untuk pengetahuan, kenderaan jenis sama juga pernah dilelong enam tahun lalu di Florida dengan harga £122,000 (RM674,268).
Sumber: This is Money