in

Guru Disiplin Dedah Zara Qairina Pernah Buat Aduan Gangguan Seksual

syaz ft 2025 12 01T172548.233

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu hari ini dimaklumkan bahawa Zara Qairina Mahathir pernah membuat aduan berkaitan gangguan seksual yang berlaku ketika pelajar Tingkatan Satu itu sedang tidur di bilik asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar.

Penolong Ketua Guru Disiplin, Nurul Syahadah Ibrahim, 38, berkata unit disiplin menerima aduan tersebut pada 14 Mac, kira-kira sebulan selepas Zara Qairina mendaftar di sekolah itu.


Artikel berkaitan: Inkues Zara Qairina: Zara Pernah Mengadu Kepada Ibunya Diejek Pelajar Senior

Artikel berkaitan: Pelajar Lihat Seseorang Pakai Baju ‘Hanafi’ Dalam Tandas Sebelum Kematian Zara Qairina

“Ya, Zara Qairina pernah membuat aduan mengenai gangguan seksual yang didakwa dilakukan oleh seorang pelajar Tingkatan Dua ketika dia sedang tidur.

Zara Qairina mendakwa pelajar itu menghidu bahagian sulitnya… bagaimanapun, hasil siasatan mendapati pelajar itu hanya menghidu selimut yang dipakai Zara Qairina sebelum membawanya untuk dicuci.

Selepas mengambil keterangan bertulis serta menemu bual setiap pelajar terlibat, unit disiplin mendapati insiden itu berpunca daripada salah faham, dan pelajar berkenaan tidak berniat selain bergurau… saya sendiri meminta pelajar itu membuat demonstrasi bagaimana dia menghidu selimut tersebut,” katanya.

Nurul Syahadah merupakan saksi ke-54 dan memberikan keterangan ketika disoal peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili salah seorang daripada lima remaja tertuduh dalam kes buli melibatkan arwah Zara Qairina, pada prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Apabila ditanya sama ada beliau mempercayai demonstrasi yang dibuat oleh pelajar Tingkatan Dua itu, Nurul Syahadah menjawab: “Ya, benar.”

Beliau turut menjelaskan bahawa unit disiplin memerlukan maklumat tambahan memandangkan kejadian didakwa berlaku ketika Zara Qairina sedang tidur.

“Kami memerlukan keterangan rakan sebiliknya, iaitu pelajar A dan pelajar Tingkatan Dua itu. Ketika itu, pelajar A sedang melipat baju,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa seorang senior dikenali sebagai “Kak M” pernah mengugut Zara Qairina dengan kata-kata “kalau aku touch-touch kau ini, berdarah kau ni”, saksi menegaskan pelajar terbabit bukan seorang gengster.

Sebaliknya, beliau berkata insiden itu berlaku selepas Zara Qairina dan pelajar A didakwa melakukan bodyshaming terhadap adik Kak M dengan memanggilnya “chipsmore” kerana remaja itu mempunyai tahi lalat di bahagian mulut.

Dalam prosiding itu, Nurul Syahadah juga mengesahkan bahawa kumpulan “Circle 19” masih wujud di sekolah berkenaan kerana ahlinya masih bersekolah, namun mereka dilarang daripada membentuk kumpulan atau “berpuak-puak”.

Beliau bersetuju bahawa kumpulan itu ada menggunakan bahasa yang tidak senonoh terhadap pelajar lain, tetapi menyatakan bahawa beliau tidak pasti sama ada laporan polis diperlukan mengenai perkara tersebut.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.