Gunung berapi Lewotobi Laki-Laki di Flores, Indonesia, memuntahkan abu panas setinggi 10 kilometer ke langit malam Jumaat lalu, disertai pancaran kilat dari kawahnya.
Letusan ini menyusuli insiden sebelum ini yang menyebabkan gangguan penerbangan di Bali.
Memetik laporan Berita Harian, Agensi Vulkanologi Indonesia melaporkan letusan berlaku jam 8.48 malam waktu tempatan dan tiada kematian atau kerosakan direkodkan setakat ini.
Penduduk dinasihatkan berjaga-jaga dan menjauhi kawasan dalam lingkungan enam kilometer dari puncak gunung.
Ketua agensi geologi, Muhammad Wafid, menjelaskan letusan berpunca daripada pengumpulan gas sejak beberapa minggu lalu.
Beliau turut memberi amaran mengenai risiko aliran lahar sekiranya hujan lebat melanda kawasan berhampiran sungai.
Gambar yang dirakam menunjukkan kilat dan asap tebal menyelubungi puncak gunung berapi setinggi 1,584 meter itu.
Letusan bulan lalu telah memuntahkan asap setinggi 18 kilometer dan menjejaskan 24 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bali.
Artikel berkaitan: Gunung Berapi Di Semeru & Stromboli Meletus Pada Hari Yang Sama
Artikel berkaitan: ‘Cantik Tapi Berbahaya’, Gunung Rinjani Bakal Ada Peraturan Lebih Ketat Susulan Bilangan Korban Yang Meningkat
Gunung ini berkembar dengan Gunung Perempuan yang lebih tinggi dan tenang, dinamakan mengikut istilah lelaki dan wanita dalam bahasa Indonesia. Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik, menjadikan negara ini kerap dilanda gempa bumi dan letusan gunung berapi.