Gara-gara menjaringkan dua gol ketika membantu Malaysia menewaskan Indonesia 2-1 pada aksi pertama peringkat kumpulan Piala AFF B-23, Fergus Tierney diserang oleh warganet Indonesia.
Semalam, ketika pasukan Malaysia ketinggalan kepada negara jiran, Tierney muncul wira apabila menyumbat gol pada minit ke 54 dan 65. Ini sekaligus menghadiahkan 3 mata pertama buat pasukan negara.
Bagaimanapun, aksi hebat Tierney ternyata tidak disenangi oleh penyokong Indonesia. Sejak semalam, laman Instagram pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dipenuhi dengan kata-kata kesat dan lucah di ruangan komen.
Rata-rata peminat Indonesia mendakwa Tierney sengaja merebahkan badan untuk mendapatkan sepakan penalti ketika skuad negara mencari jaringan penyamaan. Malah, ada juga yang mengecam bahawa dia bukanlah rakyat Malaysia dan tidak sepatutnya bermain di pertandingan itu.
Untuk rekod, pengadil perlawanan memberikan masa tambahan sebanyak 8 minit, namun Indonesia masih buntu untuk mencari gol penyamaan. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kekalah pasukan Indonesia pada malam semalam bermakna peluang mereka untuk mara ke peringkat seterusnya semakin tipis kerana hanya juara kumpulan dan naib juara kumpulan terbaik sahaja yang akan layak ke pusingan separuh akhir.
BACA: Pemain Bola Sepak Brazil, Neymar Buat Hal Lagi, Kali Ini Bergaduh Di Kelab Malam